Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:02pm
STEVIE menunjukkan poster kempen PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
STEVIE menunjukkan poster kempen PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Demam pun Stevie masih berkempen

PORT DICKSON: Calon Bebas, Stevie Chan masih larat berkempen biarpun demam dan menahan sakit ketika bertemu pengundi di sekitar Lukut dan bandar Port Dickson di sini, hari ini.

Chan berkata, faktor cuaca yang tidak menentu selain tidak cukup rehat menyebabkan kesihatannya terganggu, namun tidak dijadikan halangan untuk menghabiskan kempen.

Beliau memulakan kempen hari ke-13 ini seawal jam 8 pagi dengan melakukan tinjauan mesra dan bertemu pemimpin setempat sebagai alternatif terakhir menyampaikan mesej kepada pengundi.

“Saya demam sejak semalam, tetapi ia tidak menghalang saya keluar bertemu penduduk menerangkan mengenai manifesto dan merayu undi.

“Bagaimanapun, saya mengurangkan program tinjauan mesra hari ini dan lebih kepada bertemu pemimpin setempat.

“Saya perlu jaga kesihatan supaya kempen berjalan lancar sehingga hari pengundian,” katanya.

Sementara itu, Chan berkata, peluang pekerjaan yang terhad dan pembangunan yang belum menyeluruh antara isu dibangkitkan penduduk setempat sepanjang beliau turun padang.

Beliau melihat isu itu sebagai keperluan penting terutama bagi penduduk setempat yang menginginkan perubahan dan masa depan lebih baik.

“Saya akan mengangkat suara mewakili penduduk sekiranya memenangi PRK untuk menyelesaikan isu itu,” katanya yang berharap rakyat memberi peluang kepadanya menjadi wakil rakyat.

153 dibaca
Berita Harian X