Khamis, 15 Februari 2018 | 6:54pm

BN mampu rampas Parlimen Batu Pahat

BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) dijangka mampu merampas kembali Parlimen Batu Pahat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbekalkan transformasi politik dibawakan BN Johor.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Md Akbal Abdullah, berkata komitmen ditunjukkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Pengerusi BN Johor terutama dalam membawakan pembaharuan serta transformasi politik serta agenda pembangunan negeri yang lebih inklusif dan menyeluruh, dijangka mampu menawan pengundi.

Katanya, PRU-14 amat penting terutama bagi Johor kerana gerakan pembangkang dilihat semakin agresif mahu meruntuhkan kubu kuat BN di selatan tanah air.

Bagaimanapun, katanya, transformasi serta pembaharuan dilakukan Mohamed Khaled itu perlu mendapat sokongan padu jentera parti setiap bahagian jika serius mahu merampas kembali beberapa kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menafikan kemaraan pembangkang.

"Parlimen Batu Pahat jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-13 bukan kerana mereka kuat tetapi kerana sentimen masyarakat ketika itu yang menolak BN dan ia diburukkan dengan kurangnya perpaduan di Bahagian UMNO Batu Pahat pada waktu itu.

"Saya yakin BN mampu merampas kembali Parlimen Batu Pahat jika pembaharuan politik dan agenda Mohamed Khaled itu dijayakan dengan bersungguh-sungguh jentera parti yang perlu yakin dengan perubahan yang ingin dibawa.

"Antara transformasi politik yang dibawakan BN Johor itu termasuklah strategi berdepan pengundi dan akar umbi selain calon yang lebih diterima dan disukai pengundi.

"Jika transformasi itu diterima dengan berlapang dada dan dijayakan dengan penuh ikhlas dan bersepadu di bahagian,saya percaya Parlimen Batu Pahat akan kembali dirampas BN," katanya.

Pada PRU-13 lalu, PKR menerusi Datuk Mohd Idris Jausi mengalahkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang ketika itu Timbalan Menteri Pelajaran, dengan memperoleh 38,667 undi, iaitu majoriti kira-kira 1,700 undi.

Pada 2008 pula, Mohd Puad menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,704 undi.

Sementara itu, beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Parlimen Batu Pahat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat,Zaidi Japar dan Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah.

Pemerhati politik melihat yang memiliki kelebihan dalam senarai nama yang kerap disebut-disebut itu adalah Ketua Wanita UMNO Batu Pahat yang memiliki latar belakang profesional sebagai peguam.

Ia juga selaras dengan aspirasi dan kemahuan kepimpinan tertinggi BN yang mahu menampilkan lebih ramai calon wanita berwibawa yang mempunyai potensi dan pengetahuan mendalam dalam politik untuk bertanding pada PRU kali ini.

3892 dibaca
Berita Harian X