Selasa, 13 Februari 2018 | 2:39pm
SETIAUSAHA Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir. - Foto Aizuddin Saad

Amanah yakin letak calon di Parlimen Ayer Hitam

KUALA LUMPUR: Kemelut agihan kerusi Parlimen Ayer Hitam di antara parti sekutu pakatan harapan (PH), semakin parah apabila DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), terus bertegas untuk bertanding pada kerusi berkenaan.

Meskipun DAP menerusi kenyataan Setiausaha Organisasi parti itu, Anthony Loke pada Sabtu lalu membuat pusingan U apabila menegaskan pendirian untuk meletakkan calon mereka, Amanah terus meletakkan keyakinan Parlimen itu bakal menjadi kerusi ke-28 ditandingi calon parti serpihan PAS terbabit.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir, berkata pihaknya yakin hasrat meletakkan calon bertanding di kerusi itu masih cerah kerana melihat peluang di antara mereka dan DAP di kawasan Parlimen berkenaan adalah sama rata.

Beliau berkata, keputusan mengenai parti mana yang bertanding di kerusi itu belum dimuktamadkan kepemimpinan PH kerana ia masih di peringkat rundingan di antara kepemimpinan dua parti sekutu itu.

"Keyakinan kami untuk bertanding di Parlimen Ayer Hitam tetap ada walaupun peluang adalah 50:50," katanya ketika dihubungi semalam.

Awal bulan lalu, menerusi Muafakat PH, agihan kerusi Parlimen bagi Semenanjung menyaksikan DAP mendapat 35 kerusi termasuk Ayer Hitam, manakala Amanah dipertanggungjawabkan di 27 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, pada 12 Januari lalu, beberapa hari selepas itu, DAP mengesahkan bahawa kerusi Parlimen Ayer Hitam akan ditandingi calon parti Amanah dalam PRU-14.

Bagi pembangkang, Parlimen Ayer Hitam yang majoriti pengundinya adalah Melayu, mewakili 57.9 peratus adalah kerusi tradisi PAS.

Bagaimanapun, penyandang dari Barisan Nasional (BN), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, merangkap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertahankan kerusi itu sejak tiga penggal lalu.

Pada PRU-13, PAS yang meletakkan calon bukan Melayu, Hu Pang Chaw, hanya berpuas hati dengan meraih sebanyak 14,735 undi berbanding Ka Siong yang memperoleh 22,045 undi.

Sementara itu mengulas isu berkaitan, Mohd Anuar berkata, agihan kerusi Dewan Undangan Negeri dalam PH, sudah selesai 80 peratus dan dijangka dapat dimuktamadkan minggu depan.

"Sepatutnya tarikh akhir esok (hari ini) dan diumumkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan kesihatan Pengerusi PH (Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak mengizinkan ketika ini.

Insya-Allah minggu depan akan selesai," katanya.

672 dibaca
Berita Harian X