Rabu, 17 Januari 2018 | 4:18pm
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto Farah Suhaidah Othman

Umum awal calon PRU-14 hanya sesuai di kawasan tertentu

SLIM RIVER: Pengumuman awal calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya sesuai dilakukan bagi kerusi tertentu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, pengumuman dibuat sendiri parti komponen BN seperti dilakukan MCA bagi Parlimen Kampar dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kranji dan Malim Nawar, tertakluk kepada pengumuman akhir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, keputusan dibuat di peringkat MCA itu berdasarkan kepada semangat perbincangan dalam kalangan pemimpin dan ahli mereka di kerusi berkenaan.

"(Kesesuaian umum awal calon) bergantung kepada tempat dan kawasan. Dalam konteks itu, (Parlimen) Kampar mungkin dia (Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai) berasakan perlu umum lebih awal, itu kerusi tradisi MCA.

"Saya tidak mengatakan yang diumumkan Tiong Lai itu tidak berbincang (dengan BN negeri), malah Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong pun sudah membisikkan perkara itu kepada saya sebelum ini dan Tiong Lai pun maklum, selain Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

"Bagaimanapun, ini cadangan awal, keputusan pengumuman MCA mengenai calon itu akhirnya tertakluk kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi BN," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tiong Lai yang mengumumkan Chee Leong sebagai calon kerusi Parlimen Kampar, manakala Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar, Chang Gwo Chyang sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar, manakala Setiausaha MCA bahagian berkenan, Daniel Wa sebagai calon DUN Keranji.

Tiong Lai mengumumkan perkara itu ketika program turun padang ke parlimen berkenaan Ahad lalu.

Chee Leong yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kampar tewas kepada calon DAP, Ko Chung Sen dengan majoriti 5,400 undi pada PRU-13.

Bagi DUN Keranji, Daniel yang turut bertanding pada PRU lalu juga tewas kepada calon DAP, Chen Fook Chye dengan majoriti undi 5,561, manakala Gwo Chyang tewas bagi kerusi Malim Nawar yang kini disandang Leong Cheok Kheng daripada DAP dengan majoriti 4,343 undi.

Zambry berkata, pengumuman awal MCA itu juga bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, beliau sendiri mengadakan siri perbincangan dan musyawarah dengan pimpinan BN Pusat dan negeri.

"Dalam konteks BN, kami sentiasa mengadakan perbincangan bersama, namun dalam konteks Kampar, barangkali Tiong Lai berasakan perlu membuat pengumuman awal," katanya.

429 dibaca
Berita Harian X