Sabtu, 13 Januari 2018 | 2:20pm
ZAMBRY ketika hadir di program Jelajah Veteran Sehati Sejiwa Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Taman Meru, Ipoh. - Foto Effendy Rashid

Veteran UMNO Perak mantapkan parti 

IPOH: Ahli Veteran UMNO di negeri ini terutama dalam kalangan bekas pemimpin mampu memberikan impak besar dalam percaturan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ia menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi meskipun berbagai cabaran dihadapi UMNO ketika ini termasuk ada kalangan mereka pernah menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui negara ini sebagai Perdana Menteri.

"Veteran UMNO mempunyai pengalaman secara langsung berada dalam lapangan politik dan memberikan impak yang besar sama ada kepada keluarga mahupun kepada rakyat.

"Ada dalam kalangan mereka adalah bekas pemimpin (yang mempunyai pengikut) dan peranan mereka untuk menyokong perjuangan parti tetap mantap," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Veteran Sehati Sejiwa Negeri Perak anjuran Veteran UMNO negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, menyampaikan Anugerah Tokoh Pejuang kepada bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Faezah Abu Kassim.

Faezah, 78, yang juga dinobatkan sebagai Srikandi Veteran Perak pernah menjawat jawatan Naib Ketua Wanita UMNO negeri, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tambun dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Sungai Tapah. 

Zambry menggesa golongan veteran membantu UMNO negeri bagi menghadapi PRU Ke-14 dengan setiap daripada mereka menggunakan pengalaman sedia ada untuk memainkan peranan tertentu dalam memastikan kemenangan calon parti.

"Di semua peringkat sama ada yang muda atau tua, masing-masing memainkan peranan kerana setiap daripada mereka mempunyai undi," katanya.

323 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »