Sabtu, 13 Januari 2018 | 11:28am
Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) bersama pemimpin yang lain melaungkan slogan PBS "Bersatu" pada Majlis Perasmian Pemukiman Pimpinan Tertinggi PBS di Biro Tatanegara (BTN) Kundasang. - Foto ihsan Kettha

You'll Never Walk Alone - Pairin

RANAU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, menyifatkan perjuangannya menerusi parti itu sama, seperti moto pasukan bola sepak Liverpool yang beliau juga peminatnya.

Pairin berkata, moto pasukan Liga Perdana Inggeris itu, iaitu 'You'll Never Walk Alone' benar-benar menggambarkan beliau tidak bersendirian dalam perjuangan PBS yang diasaskannya kira-kira 30 tahun lalu.

"Saya peminat Liverpool. Ya, pasukan itu kalah dalam beberapa perlawanan tetapi saya terima kenyataan bahawa mereka sudah bermain dengan bersungguh-sungguh.

"Moto Liverpool sangat mendalam maknanya. Kita tidak seharusnya berjalan sendirian. Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan.

"PBS masih relevan kerana perjuangan kita ikhlas dan suci. Inilah warisan yang kita tinggalkan kepada generasi muda dan saya harap mereka akan meneruskan kerja ini," katanya pada pelancaran bengkel tiga hari persediaan pilihan raya PBS di Kundasang, di sini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata PBS akan bekerja keras untuk mempertahan dan merampas semula 18 kerusinya, termasuk lima kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) bersama pemimpin-pemimpin yang lain melaungkan slogan PBS "Bersatu" pada Majlis Perasmian Pemukiman Pimpinan Tertinggi PBS di Biro Tatanegara (BTN) Kundasang. - Foto ihsan Kettha

"Ketika masih muda, saya takut dengan bayang-bayang sendiri. Kurang baik dalam pengucapan awam dan tiada siapa membimbing untuk menjadi seorang yang berani tetapi saya dapat mengatasinya.

"Hari ini, saya berdiri di sini sebagai seorang yang kuat dan berani kerana tahu semua orang akan membantu," katanya.

Terdahulu, Pairin mengingatkan ahli PBS supaya sentiasa fokus bagi memastikan perjuangan dan objektif yang digariskan parti itu dapat dicapai.

Beliau berkata, ia bukan saja mengukuhkan jentera parti, malah mempersiapkan ahli untuk berdepan cabaran, khususnya dengan PRU-14 yang semakin hampir.

719 dibaca
Berita Harian X