Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:47am
ARAU 22 OKTOBER 2017. GAMBAR fail, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berucap pada Program Jelajah Semarak di Taman Jejawi Permai, Oktober lalu. - Foto Azhar Ramli

Azmin sokong Tun M - Mukhriz

KUALA SELANGOR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya berbeza pendapat mengenai pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ketika ditanya mengenai mesej Twitter melalui akaun @AzminAli pada Khamis lalu, berkata itu masalah berikutan Mohamed Azmin yang juga Naib Presiden pakatan itu, sudah menyatakan sokongannya terhadap Dr Mahathir.

"Saya ingat tiada masalah. Saya ingat perbezaan sikit-sikit saja. Hari ini pun setahu saya Mohamed Azmin buat kenyataan menerima pencalonan Tun Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pakatan Harapan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mesej dalam akaun Twitter Mohamed Azmin yang menyebut 'Sandiwara Kelas Pertama, kah kah kah' yang dianggap menyindir Dr Mahathir terutama apabila ia dimuat naik selepas laporan berita bahawa Presiden Pakatan Harapan itu dihalang melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital.

Selain itu, PKR Selangor yang diketuai Mohamed Azmin, juga mengeluarkan kenyataan melalui Ketua Biro Komunikasinya, Hizwan Ahmad, pada Isnin lalu, menolak pencalonan Dr Mahathir yang dikatakan tidak sejajar dengan semangat reformasi.

Semalam, Mohamed Azmin, bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa Dr Mahathir pilihan terbaik dari gabungan itu untuk menyandang jawatan perdana menteri.

Ditanya mengenai kelibat Mohamed Azmin yang tidak kelihatan ketika kepemimpinan Pakatan Harapan mengadakan sidang media selepas Konvensyen Pakatan Harapan Ahad lalu, Mukhriz meminta untuk semua pihak tidak terlalu menganalisis setiap perkara.

"Yang itu tak payah baca lebih-lebih sangat daripada itu. Saya fikir semua terima.

"Saya tengok ada beberapa pihak dari PKR sendiri yang membuat kenyataan menyokong pucuk kepimpinan," katanya.

Selain itu, Mukhriz berkata, berdasarkan kepada maklum balas, rata-rata penerimaan terhadap keputusan pakatan pembangkang meletakkan Dr Mahathir dan Presiden Pakatan Harapan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk jawatan nombor satu dan dua negara jika ia menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai begitu baik.

"Kalau ada pun segelintir. Yang itu kita kena usahakanlah. Kita kena sembang. Kita ketengahkan rasional daripada keputusan itu," katanya.

3965 dibaca
Berita Harian X