Khamis, 11 Januari 2018 | 8:45pm
DATUK Seri Mukhriz Mahathir

Mukhriz akui ada hasrat jadi pemimpin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengakui setiap ahli politik, seperti juga beliau menyimpan hasrat untuk menjadi pemimpin, termasuk sebagai Perdana Menteri. 

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian ketika membaca keterangan saksi di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, hasrat itu bukanlah melalui 'pakatan sulit' seperti didakwa bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

"Saya juga ada menyimpan hasrat menjadi seorang pemimpin, tetapi ia perlu melalui jalan yang benar dan tulus, bukan dengan cara penipuan, komplot atau pakatan jahat atau pakatan sulit seperti didakwa defendan melalui kenyataannya.

"Hasrat itu hendaklah lahir dengan hati suci kerana tanggungjawab yang akan dipikul adalah amanah besar kepada negara," katanya.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Kedah, membaca keterangan saksi itu pada hari pertama perbicaraan kes saman difailkan terhadap Tunku Abdul Aziz berhubung dakwaan wujud pakatan sulit

membabitkan dirinya dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Mukhriz, 53, dalam penyataan itu juga menafikan wujud pakatan sulit di antara bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Kit Siang, untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri, jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Jika saya bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri, niat dan cita-cita itu tidak boleh dijadikan asas atau justifikasi kepada defendan untuk mencemuh dan menuduh ada 'perjanjian rahsia' atau 'pakatan sulit' atau 'pergerakan rahsia' di antara Dr Mahathir dan Kit Siang untuk mengangkat saya sebagai Perdana Menteri dan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Saya juga tidak pernah mengumumkan kepada mana-mana akhbar, kononnya saya mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz memaklumkan kepada mahkamah, pernyataan saksi anak guamnya difailkan melalui sistem e-filing kehakiman, semalam, dan kepada mahkamah serta peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Tunku Abdul Aziz, hari ini.

Mohamed Haniff berkata, beliau akan memanggil Dr Mahathir dan Kit Siang untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu.

Jahaberdeen pula berkata, beliau memerlukan masa meneliti pernyataan saksi Mukhriz sebelum menyoal balasnya dan perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan akan disambung pada 18 Januari ini.

Pada 7 Februari 2017, Mukhriz memfailkan saman dengan mendakwa pada 30 Disember 2016, defendan mengeluarkan satu kenyataan bertajuk 'Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang' yang dilaporkan di dalam blog AIDCNews.

Beliau mendakwa, pada 1 Januari 2017, pihaknya ada membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu dan jika gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Bagaimanapun, pada 3 Januari 2017, defendan menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan media bertajuk 'Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah'.

1242 dibaca
Berita Harian X