Rabu, 7 March 2018 | 4:57pm
PENGETUA SMK Sri Rahmat, Yazid Zawawi bergambar kenangan bersama 78 pelajar Okinawa Urasoe Shogyo Highschool. - Foto Norazimah Narudin
YAZID Zawawi menemani pelajar Okinawa Urasoe Shogyo Highschool merasa makanan rakyat Malaysia di stesen khas. - Foto Norazimah Narudin
PELAJAR Okinawa Urasoe Shogyo Highschool mencuba mengayakan kain batik di stesen khas. - Foto Norazimah Narudin

Pelajar Jepun teruja meneroka budaya Malaysia

JOHOR BAHRU: Seramai 78 pelajar Okinawa Urasoe Shogyo Highschool, teruja meneroka keenakan makanan, keseronokan permainan dan budaya Malaysia dalam program Pengantarabangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Rahmat di sini.

Pelajar dari negara Matahari Terbit itu, Haruka Yoshimode, 17, berkata dia sudah lama menanti peluang untuk mendalami kebudayaan penduduk Malaysia.

"Saya tertarik dengan budaya tradisional penduduk di sini yang terdiri daripada pelbagai kaum. Saya kagum dengan pelbagai jenis kraftangan, makanan, permainan dan alat muzik yang disediakan pihak sekolah.

"Jadi, saya mengikuti setiap aktiviti dan permainan tradisional yang disediakan untuk kami. Contohnya, permainan tradisional Melayu congkak dan batu seremban," katanya ketika ditemui dalam program Pengantarabangsaan SMK Sri Rahmat di sini, hari ini.

Haruka berkata, perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang program berlangsung ialah menyarung sendiri kain batik.

"Walaupun menyarung kain batik adalah pengalaman pertama saya, ia sangat senang. Saya tertarik dengan corak bunga berwarna-warni dan cara pemakaiannya," katanya yang juga menggemari makanan tempatan seperti Otak-Otak dan kuih kapit.

Selain itu, persembahan kebudayaan tarian Satu Malaysia bangsa Melayu, India dan Cina serta pukulan muzik gamelan menjadi memori yang mengujakan.

Seorang lagi pelajar Okinawa Urasoe Shogyo Highschool, Ryuto Matayoshi, 17, berkata permainan tradisional Malaysia amat menarik dan agak mudah dimainkan.

"Saya mencuba semua permainan yang disediakan seperti congkak, capteh dan mendapati permainan ini agak mudah dimainkan. Saya kini sudah pandai bermain capteh," katanya yang menjadi pelajar tunggal lelaki dalam rombongan itu.

Ryoto berkata, dia akan berkunjung lagi ke sini kerana hatinya sudah terpaut dengan kekayaan budaya serta keenakan makanan di negara ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Sri Rahmat, Yazid Zawawi, berkata pihaknya berbangga kerana dapat diberi peluang menganjurkan program berkenaan.

"Kami melakukan pelbagai persiapan untuk menyambut kedatangan mereka termasuk membuat pertunjukan kebudayaan masyarakat yang di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

"Kami memilih 38 pelajar untuk dijadikan pasangan kepada pelajar dari Jepun supaya mereka senang berinteraksi dan bertanyakan soalan," katanya.

831 dibaca
Berita Harian X