Sabtu, 3 March 2018 | 5:04pm
PENGARANG Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Malek Amir Azmin Abd Aziz beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Asrama SBPI Gombak, hari ini. - Foto Rosdan Wahid
PENGARANG Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Malek Amir Azmin Abd Aziz beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Asrama SBPI Gombak, hari ini. - Foto Rosdan Wahid
PENGARANG Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Pengetua Cemerlang SBPI Gombak, Nor Hayati Yusoff (kanan) melawat kamar selesa pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Asrama SBPI Gombak, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Ibu bapa wajar bantu sedia kemudahan sekolah

GOMBAK: Pembabitan ibu bapa di sekolah bukan saja tertumpu pada bantuan dana sebaliknya turut membantu menyediakan kemudahan lain secara menyeluruh untuk kepentingan pelajar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Malek Amir Azmin Abd Aziz, berkata ibu bapa perlu faham konsep kebersamaan antara pihak sekolah dan PIBG iaitu membantu menyediakan kemudahan yang akan digunakan sepanjang anak mereka berada di sekolah.

"Ibu bapa tidak boleh menganggap kutipan atau dana yang diberi sebagai paksaan sebaliknya ia digunakan seratus peratus untuk prasarana diperlukan oleh anak mereka.

"Stigma segelintir ibu bapa yang mengatakan kutipan sudah dibuat tapi tiada hasil perlu ditangkis dengan pembabitan secara serius ibu bapa dalam program yang dianjurkan oleh pihak sekolah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Asrama SBPI Gombak, di sini, hari ini.

Majlis perasmian Hari Terbuka Asrama SBPI Gombak itu disempurnakan Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Yang turut hadir, Pengetua Cemerlang SBPI Gombak, Nor Hayati Yusoff, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Maimunah Ismail dan Penolong Kanan Kokurikulum, Sarimah Samuri.

Malek Amir Azmin berkata, pembabitan ibu bapa dalam acara sekolah dapat membantu sekolah dalam aspek penambahbaikan dan mencetus idea baharu tidak kira dalam pembelajaran mahupun infrastruktur kemudahan yang digunakan oleh anak masing-masing.

"Ibu bapa perlu turun padang dan melihat sendiri kekurangan dan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di sekolah.

"Melalui program seperti hari terbuka asrama ini mahupun program lain, ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah sebaliknya bersama-sama membantu untuk kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu, Nor Hayati berkata, Hari Terbuka Asrama yang dianjurkan bukan saja bertujuan bagi mengumpul dana sebaliknya secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar untuk bijak merancang, mengelola dan melaksanakan program berasaskan sistem rumah.

"Pelajar asrama meluangkan masa 273 hari sepanjang tahun untuk berada di asrama. Mereka dibentuk oleh rakan sebaya, warden dan sekolah selain ibu bapa di rumah.

"Oleh itu, pentingnya kemudahan sistem rumah dipraktikan ketika berada di asrama dan pihak sekolah sentiasa berusaha menyediakan kemudahan lengkap kepada mereka," katanya.

1316 dibaca
Berita Harian X