Jumaat, 2 March 2018 | 4:12pm
BARISAN pendebat USIM, (dari kiri) Nur Ain Hannani, Syarifah Thahirah, pensyarah pengiring, Dr Muhammad Zaharuddin Zakaria, Muhammad Syahmi dan Adam Fikry.

USIM naib johan debat bahasa Arab di Indonesia

YOGYAKARTA: Penyertaan julung kali Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam pertandingan akhir UNISI Arabic Debating Championship (UADC), membuahkan hasil apabila muncul naib johan pada pertandingan yang diadakan di Universitas Islam Indonesia (UII), di sini, pagi tadi.

Pasukan yang terdiri daripada empat pendebat bahasa Arab iaitu Muhammad Syamim Md Morshid, 20, Nur Ain Hannani Hamid, 21, Sharifah Thahirah Syed Mustafa, 22 dan Adam Fikry Bakru Rozi, 23, adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam UADC.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman, berkata pasukan itu mempamerkan aksi debat yang cemerlang pada peringkat akhir sebagai kerajaan bertemu Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Gunung Djati, Bandung, selaku pembangkang yang membahaskan usul 'Majlis Ini Percaya Pengharaman Crypto Currency Penting'.


NUR Ain Hannani (kiri) dan Syarifah Thahirah tersenarai dalam 10 pendebat terbaik keseluruhan kejohanan itu.

"Sebelum mara ke pentas akhir, pendebat USIM menunjukkan taring sejak peringkat saringan lagi apabila memenangi semua lima sidang perdebatan.

"Pada peringkat suku akhir, mereka menewaskan Institut Agama Islam Negeri Jember (IAIN), sebelum menundukkan kehebatan pendebat UIN Malang di peringkat separuh akhir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

UADC adalah pertandingan debat bahasa Arab yang utama dan terbesar di Indonesia dianjurkan oleh el-Markazi berpusat di UII.

Selaku naib johan, USIM membawa pulang hadiah wang tunai Rp3,000,000.00 (RM850), piala kejohanan dan sijil.

Walaupun hanya sekadar meraih tempat kedua pada pertandingan itu, kemampuan pendebat USIM diiktiraf apabila Nur Ain Hannani dan Sharifah Thahirah tersenarai dalam 10 pendebat terbaik keseluruhan dan masing-masing menerima hadiah wang tunai Rp200,000.00 (RM56).

Beliau berkata, kejayaan USIM dalam UADC itu membuktikan kehebatan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan penuntut Makaysia apabila berjaya mengalahkan pasukan daripada beberapa universiti terkenal Indonesia.

"Walaupun ini adalah penyertaan yang pertama, kehebatan berhujah pendebat USIM dikagumi dan dihormati oleh pendebat di sana.

"Pengusaan bahasa Arab yang baik dan kematangan membahaskan setiap usul perdebatan turut mendapat pujian daripada juri pertandingan," katanya.

Selain Indonesia, satu lagi pasukan debat bahasa Arab USIM turut membawa nama negara di Qatar University Arabic Debate Championship bertempat di University Qatar, Doha.

Kejohanan berkenaan yang bermula secara rasmi semalam akan berakhir pada 7 Mac depan.

INFO:

UNISI UADC

- Membabitkan 87 pendebat dari 24 pasukan debat yang mewakili 16 universiti.

- Antara universiti yang menyertai pertandingan akhir:

* Universitas Muhammadiyah Surakata

* Universitas Al-Azhar Indonesia

* UIN Syarif Hidayatullah

* UIN Maulana Malik Ibrahim

* Universitas Muhammadiyah Yogyakarta

* Institut Dirosat Islamiyah Al-Amein.

733 dibaca
Berita Harian X