Khamis, 1 March 2018 | 4:48pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kiri) melihat kawasan sekolah selepas Majlis Penyampaian 'Mock Cheque' Bantuan Awal Persekolahan, di Sekolah Kebangsaan Mempagar, Beaufort. - Foto Khairull Azry Bidin
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kiri) diiringi Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih (kiri) semasa tiba di Sekolah Kebangsaan Mempagar, Beaufort. - Foto Khairull Azry Bidin

Labuan dapat RM19j untuk pendidikan

LABUAN: Kementerian Pendidikan mengumumkan peruntukan RM19 juta untuk program pendidikan di Labuan, termasuk RM15 juta bagi menaik taraf bekas flet guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu di sini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata flat berkenaan akan dinaik taraf untuk dijadikan Pusat Tingkatan Enam yang kini beroperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan.

Katanya, sejumlah RM3.7 juta lagi diperuntukkan menerusi projek khas Jabatan Pendidikan Labuan bagi menaik taraf dan membaiki kerosakan di beberapa sekolah di pulau ini serta Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk Parlimen Labuan bagi pembangunan pendidikan di pulau bebas cukai ini.

"Kementerian Pendidikan akan terus memberi perhatian terhadap pemerkasaan pendidikan membabitkan penyelenggaraan beberapa sekolah rendah dan menengah serta KML yang akan dilaksanakan bulan ini.

"Saya harap warga guru akan terus berbakti bagi memastikan murid mendapat pendidikan berkualiti dan sempurna," katanya pada Majlis Titian Kasih Bersama Warga Pendidikan Labuan di Dewan Mutiara KML di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, hadir pada Program Kunjungan Kasih Ke SMK Taman Perumahan Bedaun.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya pada majlis makan malam bersama pegawai kanan Jabatan Pendidikan Labuan dan pemimpin masyarakat di sini, malam tadi, meminta warga pendidik di Labuan mencontohi kejayaan guru dari Kolej Vokasional Keningau Sirhajwan Idek, 30, yang memenangi Community Award for Citizenship di Dubai, semalam.

"Kejayaan itu adalah suntikan semangat kepada warga pendidik termasuk kira-kira 1,500 guru di Labuan untuk turut mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya.

308 dibaca
Berita Harian X