Selasa, 27 Februari 2018 | 1:06pm
DATUK Seri Mahdzir Khalid (tiga kanan) diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Kama Noriah Ibrahim (kanan) bersalaman dengan murid yang hadir di Majlis Perasmian Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) di Dewan Tunku Putra.- Foto Sharul Hafiz Zam

TVET tumpu lahir tenaga kerja mahir

KUALA NERANG: Pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama strategik tujuh kementerian akan memacu misi melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Kementerian Pendidikan sebagai salah satu kementerian bertanggungjawab di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diterajui Kementerian Sumber Manusia, akan memanfaatkan kolej vokasional bagi melatih tenaga kerja mahir bagi tujuan itu.

Katanya, setiap kementerian juga mempunyai institusi masing-masing dan semuanya bergerak seiringan ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

"Antara bidang yang diberi tumpuan seperti automotif, teknologi hijau dan latihan berkaitan dengan perkhidmatan perhotelan serta kulinari (masakan).

"Bidang terbabit ditawarkan secara pakej sama ada pada peringkat persijilan, diploma atau ijazah yang diselaras menerusi kerjasama antara kementerian untuk mengelakkan pertindihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Program Inisiatif Melestarikan Pembangunan Komuniti (1MPAK) di Dewan Tunku Putra di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, dalam konteks negara ketika ini, keperluan untuk juruteknik dalam bidang automotif berkaitan pengangkutan kereta api laju, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) semakin meningkat sejajar dengan pembangunan pengangkutan awam.

"Juruteknik ini bukan satu jumlah sedikit, perlu jumlah yang ramai...jadi mesti ada tempat mereka ini untuk mendapatkan latihan dan sebab itu TVET diadakan bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi pasaran kerja.

"Di Kementerian Pendidikan sahaja, kita ada kolej vokasional dengan 15,000 penuntut peringkat diploma dalam bidang masing-masing, malah 75 peratus graduan dari kolej ini berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan," katanya.

Tujuh kementerian terbabit dalam TVET adalah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kerjasama strategik antara semua kementerian menerusi identiti TVET Malaysia, akan menjadikan negara lebih bersiap siaga dalam menangani cabaran guna tenaga dan berdaya saing pada peringkat nasional serta antarabangsa.

781 dibaca
Berita Harian X