Isnin, 12 Februari 2018 | 12:44pm
GURU dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek.

Guru Malaysia terima biasiswa antarabangsa

KUALA LUMPUR: Guru dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, dianugerahkan biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing selepas menewaskan 220 pemohon dari seluruh dunia.

Kejayaan berkenaan melayakkan guru Bahasa Inggeris itu membuat pembentangan projek kategori Express Publishing sempena Persidangan IATEFL di Brighton, United Kingdom pada 9 hingga 13 April ini.

Keputusan berkenan diumumkan menerusi laman web IATEFL, http://www.teachers-corner.co.uk, kelmarin.

Mohd Sirhajwan berkata, beliau akan membentangkan projek pengajaran dan pembelajaran (PnP) bertema `Pembelajaran Berasaskan Projek: Cadangan, Hasrat dan Potensi pada 11 April ini sempena persidangan berkenaan.

Katanya, beliau menggunakan projek PnP itu untuk meningkatkan kreativiti dan kemahiran pelajar supaya berfikir secara kritis serta kemahiran vokasional bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam konteks lebih tulen setaraf penutur asal bahasa antarabangsa itu.

Beliau berkata, pelajar terbabit dalam pembelajaran berkenaan merasa lebih bermotivasi untuk menggunakan bahasa Inggeris apabila mereka diberi peluang untuk membangun dan melaksanakan projek itu.

"Kami sebenarnya pergi ke beberapa sekolah rendah di mana pelajar dapat melaksanakan projek mereka dan melaksanakannya secara berpasangan atau bertiga.

"Proses ini memerlukan mereka untuk mengakses maklumat bahasa Inggeris secara dalam talian untuk membangunkan projek dan menggunakan bahasa antarabangsa itu dalam kaedah memberi pesanan, bertanya soalan dan menulis bahan," katanya kepada BH, hari ini.

Penerima biasiswa anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI) itu mencakupi 31 kategori yang dibiayai 25 organisasi antarabangsa.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan menerusi Facebook rasminya turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Sirhajwan kerana terus merai kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Tahniah dan syabas Cikgu Sirhajwan Idek. Kejayaan demi kejayaan yang diraih di peringkat antarabangsa. Kami bangga dengan kejayaan anda! Terus mendidik nusa bangsa," katanya.

Mohd Sirhajwan dicalonkan bagi dua anugerah Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 28 Februari ini, iaitu `Community Award for Citizenship' kerana sumbangan kepada komuniti melalui pendidikan iaitu mewujudkan program 'Wonder Zone' dan `Outstanding Contribution in Education Award' berikutan pencapaiannya sebagai guru di peringkat antarabangsa.

Pada 22 September lalu beliau mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris.

Anak Bajau kelahiran Kota Belud itu juga tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global 2017 anjuran Yayasan Varkey berpangkalan di Dubai pada Mac tahun lalu.

2139 dibaca
Berita Harian X