Jumaat, 12 Januari 2018 | 10:58am
PELAJAR dan anggota polis mendaki bukit di kawasan ladang kelapa sawit dalam Kejohanan Merentas Desa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, peringkat sekolah. - Foto Rosman Shamsudin

Pelajar merentas desa dengan polis

SLIM RIVER: Pertandingan merentas desa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim di sini mencipta kelainan kerana turut disertai anggota polis.

Kira-kira 100 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dan 650 pelajar berlari bersama-sama mulai jam 7.30 pagi tadi.

Larian kira-kira lapan kilometer di ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Besout yang berbukit bagi menguji daya ketahanan fizikal dan mental peserta.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof melepaskan peserta.

Yang turut hadir, Pengetua sekolah itu, Nor Azmi Murad dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merangkap Pegawai Perhubungan sekolah, Inspektor R Rameshwaran.

Wan Kamarul Azran berkata, penyertaan anggota polis bersempena Program Latihan Fizikal IPD Muallim bagi meningkatkan kecergasan fizikal dan mental anggota.

Beliau berkata, acara itu juga bertujuan mengeratkan hubungan dengan pelajar dalam usaha mengurangkan salah laku dan masalah disiplin mereka.

Katanya, anggota polis perlu sentiasa bersedia sepanjang masa sama ada dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran dalam menjaga ketenteraman serta keamanan.

"Ini satu inisiatif IPD Muallim merapatkan diri dengan masyarakat bagi membendung dan mengurangkan kadar kejadian jenayah.

"Inilah kali pertama polis menyertai kejohanan merentas desa dengan pelajar sekolah menengah dan boleh dijadikan satu program tahunan kerana ia mampu memberi kesan jangka masa panjang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

1560 dibaca
Berita Harian X