Khamis, 11 Januari 2018 | 7:58pm
Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim mencuba aplikasi UMP Valid8 untuk mengesahkan ketulenan ijazah dan graduan yang menggunakan sijil palsu. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SHEIKH Mohamad Amir Aizat Othman menunjukkan aplikasi UMP Valid8 untuk mengesahkan ketulenan ijazah dan graduan yang menggunakan sijil palsu. - Foto Muhd Asyraf Sawal

UMP Valid8 kesan sijil tipu

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan dua aplikasi baharu digital dinamakan UMP Valid8 dan UMP Xchain bagi mengekang kes penipuan sijil dan mengelak plagiarisme.

Menggunakan teknologi blockchain dalam kedua-dua aplikasi itu menjadikan UMP universiti pertama di Malaysia berbuat demikian.

Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM UMP, Dr Mohamed Ariff Ameedeen, berkata UMP Valid8 adalah aplikasi pengesahan sijil menggunakan sistem kod QR bagi mengesahkan kesahihan sijil pelajar universiti itu.

Katanya, setiap sijil mempunyai kod QR unik yang merekodkan maklumat pendidikan pelajar dan dengan mengimbas kod terbabit akan menunjukkan maklumat pelajar seperti nama, gambar, kursus pengajian dan tahun bergraduasi.

"Kita akan dapat melihat kesahihan sijil berkenaan apabila maklumat yang dipaparkan dalam aplikasi ini sama dengan yang ada pada sijil pelajar. Semua maklumat itu disimpan dalam blockchain di 'server' berlainan.

"Aplikasi ini dihasilkan bertujuan mengelakkan kes penipuan sijil palsu dan pada masa sama ia untuk mengurangkan plagiarisme selaras saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)," katanya ketika ditemui di UMP Kampus Gambang, di sini.

Mohamed Ariff berkata, kod QR itu menjadi satu rantaian rekod data yang sulit yang menyimpan semua maklumat pelajar lebih selamat dan tidak mudah digodam.


PENGARAH Pusat Kecemerlangan IBM UMP, Dr Mohamed Ariff Ameedeen (dua dari kiri) bersama Dekan UMP, Prof Dr Mohd Ridzuan Darun (tiga dari kanan) mendengar keterangan daripada pelajar UMP mengenai aplikasi UMP Valid8 yang menggunakan telefon di UMP Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Teknologi itu juga membolehkan perkongsian atau pengagihan data diberikan kepada pihak yang memerlukan pengesahan maklumat pelajar UMP. Contohnya, majikan di sebuah syarikat yang mahu menawarkan pekerjaan kepada graduan lepasan UMP boleh memeriksa kesahihan data menggunakan teknologi ini," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) UMP, Profesor Madya Dr Mohd Ridzuan Darun, berkata produk itu dibangunkan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama dimulakan Disember tahun lalu.

"Hasil perbincangan bersama semua pihak termasuk pengurusan tertinggi UMP, kita mula membuat kajian mengenai teknologi blockchain dan mengambil masa agak singkat iaitu selama sebulan untuk menghasilkan dua aplikasi berkenaan.

"Kita akan meneruskan pelaksanaan aplikasi itu pada fasa kedua sepanjang tahun ini bagi meluaskan skop penggunaannya kerana setakat ini, ia hanya boleh digunakan dalam UMP," katanya.

Pada masa sama, pihaknya turut menghasilkan aplikasi UMP Xchain iaitu dompet mudah alih yang menggunakan teknologi sama bagi membolehkan kakitangan dan pelajar universiti berkenaan membuat bayaran menggunakan aplikasi terbabit.

Mohd Ridzuan berkata, pengguna perlu menambah nilai dalam akaun aplikasi itu dan pembayaran dibuat menggunakan aplikasi mudah alih dengan mengimbas kod QR atau Near Field Communication (NFC).


PENGARAH Pusat Kecemerlangan IBM UMP, Dr Mohamed Ariff Ameedeen (kanan) bersama Dekan UMP, Prof Dr Mohd Ridzuan Darun menunjukkan aplikasi UMP Valid8 yang menggunakan telefon bimbit hasil ciptaan pelajarnya di UMP Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Mereka perlu memasukkan kod pin apabila setiap transaksi bayaran dilakukan. Ini satu kaedah untuk mengatasi masalah kehilangan atau kecurian, sekali gus mengurangkan transaksi fizikal digunakan," katanya.

Projek perintis hasil Pusat Kecemerlangan IBM dengan kerjasama FIM bersama kumpulan Alumni UMP menjadikan universiti berkenaan selangkah ke depan dalam memajukan teknologi.

Selain itu, pelaksanaan aplikasi pengesahan sijil graduan itu akan terus digunakan sepenuhnya pada Konvokesyen UMP tahun ini sebelum diperluaskan ke seluruh negeri ini dan di peringkat kebangsaan.

INFO

  • Penggunaan aplikasi UMP Xchain itu membabitkan urusan jual beli di kafeteria, koperasi dan Unit Bendahari.
  • Seramai 170 alumni Fakulti Pengurusan Industri UMP menggunakan aplikasi UMP Valid8. 
Berita Harian X