Rabu, 10 Januari 2018 | 2:00pm
DR Musa (kiri) dalam majlis pelancaran BS1N di Nilai - Foto ihsan USIM.

Kakitangan USIM peroleh notebook

NILAI: Kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang layak, berpeluang memiliki notebook menerusi Skim Baucar Staf 1 Notebook (BS1N).

Pengarah Pusat Pembelajaran Akses Terbuka, Global Teknologi Imersif dan Jalinan Kualiti (GOAL-ITQAN) USIM, Prof Madya Dr Zalisham Jali, berkata skim itu diadakan selama tiga tahun dengan peruntukan RM50,000 setahun bermula tahun lalu.

Katanya, skim itu membolehkan pelaksanaan pelan 'Bring Your Own Device' dalam kalangan kakitangan universiti itu.

"Dengan skim ini, notebook yang diperolehi oleh kakitangan akan menjadi milik mereka, yang sekali gus menjimatkan kos penyelenggaraan ditanggung oleh universiti.

"Nilai BS1N yang layak diterima oleh setiap kakitangan ialah RM1,500 bagi membeli notebook yang bersesuian dengan keperluan, dan jika melebihi kadar ditetapkan mereka perlu menambah sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Zalisham berkata, skim itu membolehkan kakitangan yang layak, menggunakan notebook yang diperoleh dalam memenuhi tuntutan kerja masing-masing.

Beliau berkat, agihan skim itu dipertanggungjawab kepada GOAL-ITQAN, iaitu jabatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi USIM.

"Tahun lalu, seramai 29 kakitangan terpilih untuk menjadi kumpulan perintis menerima dan menggunakan kemudan BS1N berjumlah RM43,500," katanya.

Bulan lalu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad melancarkan skim BS1N.

293 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »