Selasa, 2 Januari 2018 | 11:45am
GELAGAT murid tahun satu memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana. - Foto Roslin Mat Tahir
GURU kelas Rohaida Mat Idris memujuk murid tahun satu Muhamamad Aqil Ansyar Muhammad Syaufik ketika memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana. - Foto Roslin Mat Tahir
GELAGAT murid tahun satu memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana. - Foto Roslin Mat Tahir
GELAGAT murid tahun satu memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana. - Foto Roslin Mat Tahir

Macam-macam ragam

SHAH ALAM: Pelbagai ragam murid Tahun Satu dapat dilihat pada sesi persekolahan baharu 2018 yang bermula hari ini.

Seorang ibu, Suhada Mohamad, 30 berkata anak sulungnya, Fayruz Aryan Fazrun, tujuh tahun, tidak mahu ditinggalkan di sekolah berikutan sebelum ini beliau bersekolah sama dengan adiknya yang berusia lima tahun.

"Sebelum hadir ke sekolah, dia tidak meragam dan hanya mengikuti saya tetapi apabila tiba di sekolah anak saya jadi takut serta tidak mahu berjauhan dengan saya.

"Mungkin juga pelik kerana adiknya tidak ada bersama tambahan pula melihat ramai kanak-kanak lain yang memasuki sekolah berbanding di tadika tempatnya bersekolah sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Shah Alam, Seksyen 16, di sini.

Beliau berkata, walaupun Fayruz tidak mahu memasuki kelas tanpanya, beliau akan cuba memujuk dengan bantuan guru kelas.

Seorang lagi ibu, Puteri Murni Salleh Hudin, 37, berkata kedua-dua anaknya bersekolah di sekolah yang sama justeru lebih mudah baginya kerana anak sulungnya yang berada di tahun empat boleh memantau adiknya.

"Anak saya Muhammad Fahim Abdul Basit juga tidak meragam kerana beliau tahu abangnya bersekolah di tempat yang sama.

"Saya mula mendaftarkan persekolahan anak secara atas talian sejak mereka berusia lima tahun lagi untuk memastikan mereka dapat bersekolah di sini kerana saya difahamkan kebanyakan sekolah berdekatan mempunyai dua sesi persekolahan.

"Tahun satu sehingga tiga bersekolah pada sesi petang manakala tahun empat hingga enam bersekolah waktu pagi, jadi bagi saya ia agak rumit jika anak-anak bersekolah pada sesi yang berbeza," katanya.

Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Mohd Amin Bahari berkata, beliau serta guru-guru Tahun Satu akan menghadapi situasi yang sama setiap tahun dan mereka sudah bersedia.

"Kalau menangis itu perkara biasa, ada murid yang tidak mahu masuk ke kelas, lari keluar kelas dan banyak lagi. Itu semua cabaran untuk kami sebagai pendidik," katanya.

Menurutnya, seramai 120 orang murid mendaftar untuk Tahun Satu di sekolah berkenaan bagi sesi persekolahan 2018.

Secara keseluruhan, seramai 91,656 murid di negeri ini mendaftar Tahun Satu berbanding 85,636 murid pada tahun lalu.

819 dibaca
Berita Harian X