Isnin, 1 Januari 2018 | 11:34am
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Terengganu, A Latiff Awang (tengah) bersalaman dengan murid Tahun Satu ketika melawat sesi persekolahan baharu 2018 di Sekolah Kebangsaan Bukit Sawa hari ini.

Lebih 84,000 murid Tahun Satu di Johor, Kelantan

JOHOR BAHRU: Seramai 56,576 murid Tahun Satu di seluruh Johor memulakan sesi persekolahan 2018, hari ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif, berkata daripada jumlah itu, 38,069 murid Sekolah Kebangsaan, 16,222 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 2,285 murid di SJK Tamil.

Katanya, murid berkenaan ditempatkan di 2,022 kelas.

"Seramai 47,579 pelajar pula memasuki Tingkatan Satu tahun ini di 232 sekolah menengah dan 1,525 kelas," katanya.

Sementara itu, di Kota Bharu, seramai 28,145 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di 418 sekolah rendah di Kelantan.

Selain itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata 13,376 murid prasekolah dan 28,961 pelajar Tingkatan Satu turut memulakan hari pertama persekolahan hari ini.

"Semua 29,626 guru sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan terus menggalas tugas membimbing dengan penuh komited walapun terdapat kekangan tertentu dalam mendisiplinkan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kunjungan Muhibah bersempena Hari Pertama Persekolahan Sesi 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Demit 2 di sini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, Mohd Ezani Awang dan Guru Besar SK Demit 2 Rusli Mat.

SK Demit menerima 101 murid Tahun Satu tahun ini.

Di Alor Setar, seramai 30,409 murid Tahun Satu di seluruh Kedah memulakan sesi persekolahan 2018

Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri, Abdullah Abdul Manaf, berkata ia membabitkan seramai 8,361 murid di daerah Kuala Muda/Yan, Kota Setar (5,799), Kulim/Bandar Baharu (5,080), Kubang Pasu (3,471), Baling/Sik (3,290), Langkawi (1,678), Pendang (1,626) dan 1,104 murid di Padang Terap.

"Semuanya berjalan lancar hari ini dan pegawai jabatan sentiasa memantau agar tiada sebarang masalah berlaku," katanya.

Di Kuala Terengganu, seramai 20,631 murid Tahun Satu memulakan hari pertama persekolahan di 352 sekolah rendah.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata daripada jumlah itu, seramai 10,370 ialah murid perempuan dan 10,261 murid lelaki.

"Bagi pelajar Tingkatan Satu pula,seramai 19,759 mendaftar di 150 sekolah menengah seluruh Terengganu pagi ini.

"Alhamdulillah hari pertama persekolahan hari ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kawasan yang dilanda hujan sejak malam tadi," katanya .

Ketika ini terdapat 489 guru berkhidmat bagi prasekolah, 11,632 guru di sekolah rendah dan 10,462 guru di sekolah menengah di seluruh Terengganu. - BERNAMA

257 dibaca
Berita Harian X