Khamis, 11 Oktober 2018 | 7:07pm
DR Wan Azizah berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di UNISEL, Kuala Selangor, hari ini. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Kerajaan komited pastikan kanak-kanak dapat pendidikan - TPM

KUALA SELANGOR: Kerajaan komited dan sedang mempergiatkan usaha bagi memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang untuk mendapat pendidikan sehingga ke peringkat menengah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau menyokong usaha bagi mewajibkan setiap kanak-kanak menamatkan pendidikan sekurang-kurangnya selepas berusia 17 tahun.

Menurutnya, ia adalah sebagai pemangkin kepada langkah kerajaan untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi pasangan beragama Islam dan bukan Islam.

“Saya difahamkan sebanyak 98 peratus daripada mereka yang berusia tujuh hingga 17 tahun adalah berdaftar dengan institusi persekolahan.

“Kerajaan prihatin dan ingin memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang pendidikan, untuk hidup sihat, untuk berjaya dan untuk menikmati kegembiraan serta kesejahteraan dalam kehidupan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud serta Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan juga sudah merangka Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara khusus bagi membina kehidupan mereka yang lebih selamat dan sejahtera.

Katanya, usaha ini dilaksanakan bagi menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia terus terpelihara.

“Isu kanak-kanak perlu diberi perhatian dan ditangani dengan menggembleng setiap sumber daripada semua sektor.

“Antara isu yang timbul kebelakangan ini ialah penderaan kanak-kanak di rumah, sekolah dan tempat penjagaan, gangguan seksual, masalah keciciran serta buli, perkahwinan bawah umur dan pemerdagangan golongan ini,” katanya.

417 dibaca
Berita Harian X