Sabtu, 24 Februari 2018 | 1:58pm
DATUK Seri Rohani Abdul Karim.- Foto Salhani Ibrahim

PERWANI bantu promosi imej negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meluluskan peruntukan RM5,000 kepada Komuniti PERWANI 1Malaysia Luar Negara bagi menganjurkan program untuk tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata peruntukan itu sebagai insentif kepada PERWANI di luar negara bagi memperhebatkan penganjuran program mereka sempena Tahun Memperkasa Wanita 2018.

"Penubuhan PERWANI berperanan membantu mempromosi dan meningkatkan nama baik Malaysia serta memperkasa wanita dalam pelbagai aspek menerusi penganjuran program kepemimpinan, kesukarelawan, keusahawanan, pendidikan dan kesukanan.

"Sempena Tahun Memperkasa Wanita 2018, diharapkan PERWANI dapat bergerak aktif, memberikan sokongan dan kerjasama erat kepada KPWKM dalam melaksanakan program pemerkasaan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Komuniti 1Malaysia Qatar, di Doha, semalam. Intipati ucapan beliau dikeluarkan oleh Unit Komunikasi kementeriannya di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Rohani turut berharap Komuniti PERWANI dapat membantu dalam mengembangkan penyertaan PERWANI di seluruh Qatar untuk memupuk sifat kesukarelawan.

Katanya, peluang ini juga perlu direbut untuk tampil sebagai ejen transformasi di peringkat komuniti walaupun berada jauh di perantauan.

Komuniti 1Malaysia Qatar adalah Komuniti PERWANI ketujuh di luar negara selepas di United Kingdom, Perancis, Australia, China, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

Sebanyak 20 kumpulan PERWANI sudah ditubuhkan dengan keahlian berjumlah 300 orang yang terdiri daripada kalangan isteri pegawai kedutaan, profesional, Malaysian Association Qatar (MAQ) serta isteri rakyat Malaysia yang terbabit dengan syarikat korporat dan swasta di Qatar.

Sejak PERWANI diperkenalkan pada 2013, sebanyak 13,259 kumpulan PERWANI ditubuhkan di dalam dan luar negara dengan jumlah keahlian seramai 173, 471 orang.

175 dibaca
Berita Harian X