Khamis, 15 Februari 2018 | 1:10am

Tiada lesen memandu kesalahan paling tinggi

KUALA LUMPUR: Tiada lesen memandu dikategorikan sebagai kesalahan tertinggi yang dikesan dalam Operasi Tahun Baru Cina (Ops TBC) 2018, di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duke, malam tadi.

Dalam operasi peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam itu, sebanyak 139 penunggang motosikal dikesan tidak mempunyai lesen memandu sah, manakala sebahagian besar lagi didapati gagal menunjukkan cukai jalan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata berdasarkan jumlah operasi sama di seluruh negara, kesalahan tiada lesen memandu turut direkodkan sebagai paling tinggi yang dikesan sehingga malam tadi.

"Ini adalah punca kemalangan berlaku pada musim perayaan yang disebabkan sikap penunggang motosikal itu sendiri, apabila dia tiada lesen memandu dan bawa motosikal, dia membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Seseorang yang mempunyai lesen pastinya sudah menghadiri pemeriksaaan dan ujian sehingga dia benar-benar faham aspek keselamatan serta adab di jalan raya berbanding mereka yang tidak mempunyai lesen memandu," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Wan Ahmad Uzir berkata, faktor penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen turut dikesan sebagai penyumbang terbesar kematian dalam kemalangan jalan raya.

"Itulah sebabnya kita (JPJ) mewujudkan pelbagai program masyarakat dalam memudahkan semua pihak memperoleh lesen memandu, termasuk pelajar lepasan sekolah menengah dan golongan muda bagi mendidik mereka untuk mengutamakan keselamatan dan undang-undang," katanya.

Dalam operasi yang turut disertai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak 1,065 motosikal diperiksa dan 355 kesalahan dikesan dilakukan oleh penunggang motosikal.

AADK menahan enam individu termasuk seorang wanita mengandung, selepas ujian saringan air kencing mereka disahkan positif dadah manakala JIM menahan empat warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Operasi ini bersempena Tahun Baharu Cina 2018 dan berjalan serentak di seluruh negara sejak 9 Februari lalu dan akan berakhir pada 23 Februari depan.

3291 dibaca
ANGGOTA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa lesen memandu penunggang motosikal pada Operasi Bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) arah Jalan Duta malam ini. - Foto bernama
Berita Harian X