Selasa, 13 Februari 2018 | 10:04pm
SESI latihan untuk persiapan perayaan Tahun Baru Cina. - Foto Farizul Hafiz Awang
KETUA Jurulatih Kelab Tarian Singa Persatuan Pembinaan Kuantan, Koo Yueh Wei. - Foto Farizul Hafiz Awang

4 jam berlatih atas tiang

KUANTAN: Kelab Tarian Singa Persatuan Pembinaan Kuantan menjalani latihan intensif bagi persembahan baharu, aksi melompat atas tiang, selepas mendapat permintaan tinggi sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Jurulatih, Koo Yueh Wei, 41, ketika ditemui di pusat latihan di Jalan Wong Ah Jang, di sini, berkata 40 ahli kumpulan itu berumur antara 12 hingga 30 tahun daripada pelbagai kaum, sedang giat menjalani latihan antara empat hingga enam jam sehari sejak awal bulan ini.

Sebagai kumpulan tarian singa yang terkenal dengan gaya akrobatik yang mendebarkan termasuk beraksi atas tiang, beliau berkata, ahlinya perlu menjalani latihan intensif bagi memperkemaskan ketepatan langkah ketika melakukan tarian berkenaan.

Beliau yang juga vendor akhbar turut dibantu Lee Leong Poh, berkata aksi menari dan melompat di atas tiang memerlukan latihan berterusan bagi meningkatkan kekuatan fizikal dan tumpuan.

"Penari perlu cekap dan mahir mengimbangi badan dan mengukur jarak sebelum melakukan aksi melompat sejauh 2.5 meter... ia agak sukar dilakukan kerana berdepan risiko kemalangan hanya dengan melakukan kesilapan kecil.


AHLI Kelab Tarian Singa Persatuan Pembinaan Kuantan ketika menjalankan sesi latihan untuk persiapan perayaan Tahun Baru Cina. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Biasanya, dua penari akan berganding membuat aksi tarian singa di atas tiang dengan seorang di depan untuk menggerakkan kepala, manakala seorang lagi di belakang. Ia bukan perkara yang mudah dan mereka perlu sentiasa berkomunikasi dan masing-masing perlu tahu langkah dan aksi yang mahu digayakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Yueh Wei yang mula terbabit dalam tarian singa sejak berumur 12 tahun juga berkata, kumpulannya menerima banyak tempahan mengadakan pertunjukan tarian singa dan naga, sempena rumah terbuka pada hari pertama hingga kelima sambutan Tahun Baru Cina, di sekitar bandar ini. 

"Pada hari keenam hingga ke-15 Tahun Baru Cina pula, kita sudah mendapat jemputan untuk mengadakan pertunjukan di premis perniagaan, kilang dan majlis korporat. Kita mempunyai beberapa pakej pertunjukan daripada persembahan asas hingga aksi tarian di atas tiang yang menjadi kelebihan kepada kelab ini.

"Bagi masyarakat Cina, tarian singa atau naga ini bukan sekadar pertunjukan kebudayaan saja tetapi ia juga mampu membawa tuah kepada mereka. Keadaan ekonomi yang kurang stabil sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka menggunakan perkhidmatan kita dengan harapan, perniagaan mereka bertambah baik pada masa akan datang," katanya.


AKSI ahli Kelab Tarian Singa Persatuan Pembinaan Kuantan ketika menjalankan sesi latihan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Anak jati bandar ini berkata, penari yang baharu sertai kelab itu akan dilengkapkan dengan pelbagai peralatan keselamatan termasuk topi keselamatan sebelum mereka benar-benar mahir dengan pergerakan tarian termasuk beraksi di atas tiang.

Beliau juga berkata, ramai penari tarian singa dan naga kelab itu sudah mendapat pendedahan mengadakan pertunjukan di peringkat antarabangsa termasuk di Macau, Hong Kong, China dan Thailand serta menyertai pelbagai pertandingan.

"Pada tahun lalu, kelab ini menjadi naib johan Pertandingan Tarian Singa Antarabangsa Piala Jiangsu dan pingat perak Pertandingan Tarian Singa Piala Wong Fei Hung dan Cabaran Dua Tarian Singa yang semuanya berlangsung di China.

"Bagi pertandingan tempatan, kita juga naib johan dalam pertandingan Gamuda Walk High Stakes Invitational dan Pertandingan Tarian Singa Antara Sekolah Tinggi Antarabangsa Penang. Kita juga muncul juara Piala Element Mall di Melaka pada 21 Januari lalu.


AHLI Kelab Tarian Singa Persatuan Pembinaan Kuantan ketika menjalankan sesi latihan untuk persiapan perayaan Tahun Baru Cina. - Foto Farizul Hafiz Awang

Sementara itu, Leong Poh berkata, antara kelebihan kelab ini ialah turut mempunyai seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga menjadi satu-satunya penari tarian singa atas tiang.

"Kelab ini juga menyediakan kelas khas pada setiap petang Sabtu yang terbuka kepada semua kaum yang berminat untuk belajar tarian ini. Setakat ini, kita menerima ia mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada murid sekolah rendah, termasuk kaum Melayu dan India," katanya.

INFO

  • Tarian singa ini sudah menjadi budaya orang Asia berketurunan Cina dan dimainkan di negara China, Jepun, Taiwan, Korea, Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Malaysia.
  • Tarian singa yang dikatakan bermula sejak lebih 1,000 tahun lalu akan diiringi oleh gong, dram, dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.

#kw tarian singa cina 

Berita Harian X