;
Selasa, 13 Februari 2018 | 9:47pm

IPD Shah Alam jalankan HPP setiap minggu

SHAH ALAM: Program High Profile Policing (HPP) akan diadakan setiap minggu ataupun sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan dalam usaha mendekati masyarakat.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib, berkata program berkenaan adalah ideanya sendiri bagi memastikan lebih banyak sesi ramah mesra bersama masyarakat diadakan, selain menjadi satu cara untuk mencegah jenayah.

"Satu pasukan HPP akan ditubuhkan, yang terdiri daripada seorang pegawai dan beberapa anggota, termasuk daripada unit khas Skuad Aman Wanita (Amanita).

"Pasukan ini akan mengadakan tinjauan dan lawatan ke pusat beli-belah di seluruh daerah terutamanya yang menjadi tumpuan pengunjung pada hari minggu.

"Kehadiran polis ini dapat membantu membanteras jenayah. Penjenayah tidak berani berbuat apa-apa jika polis berada berdekatan," katanya kepada media selepas program HPP di Setia City Mall, di sini, hari ini.

Pada sesi lawatan itu, Baharuddin turut mengedarkan risalah keselamatan serta borang keselamatan rumah sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

"Kita gunakan peluang ini untuk meminta orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya melaporkan kepada balai polis berdekatan.

"Ini bagi membolehkan pemantauan dan rondaan dilakukan di kawasan perumahan mereka," katanya.

Beliau berkata, pasukan rondaan juga sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas sepanjang tempoh Ops Selamat, yang bermula pada 9 hingga 23 Februari ini

379 dibaca
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Konisioner Baharuddin Mat Taib (tengah) memberi cenderahati dan beramah mesra bersama pengunjung pada Program High Profile Policing sempena sambutan Tahun Baru Cina di Setia City Mall, Setia Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X