;
Selasa, 13 Februari 2018 | 8:05pm
Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 40, Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dari PAS, Mohd Zawawi Hassan bersama abangnya Meor Syairul Akmal Meor Ibrahim, 43 (tengah) berbual dengan ADUN Sungai Rapat, Radzi Zainon ketika di Jabatan Kecemasan Hopital Raja Pemaisuri Bainun. - Foto Muhammad Appendy Issahak
GAMBAR fail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dari PAS, Mohd Zawawi Abu Hassan. - Foto Abdullah Yusof

ADUN Gunung Semanggol perlu dibedah

IPOH: Keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dari PAS, Mohd Zawawi Hassan, yang dilaporkan jatuh dan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur, Bagan Serai, pagi tadi, kini stabil.

Namun beliau perlu menjalani pembedahan segera bagi merawat pendarahan di kepalanya.

Mohd Zawawi, 41, kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) juga sudah sedarkan diri tetapi doktor memberikannya ubat penenang supaya dapat berehat dan mengelak pendarahan lebih teruk di kepalanya.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata wakil rakyat itu mengalami pendarahan dalam kepala sebelah kanan yang dipercayai berpunca daripada tekanan darah tinggi.

"Mohd Zawawi mengalami tekanan darah tinggi dengan bacaan melebihi 200 hingga menyebabkannya jatuh dan tidak sedarkan diri.

"Isterinya Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 40, yang berada di rumah ketika itu kemudian menghantarnya ke Hospital Taiping dan pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan di dalam kepala sebelum dipindahkan ke HRPB untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan HRPB di sini, hari ini.

Turut hadir menziarah adalah ADUN Sungai Rapat, Radzi Zainon.

Sementara itu, Maizul Rosmawati yang ditemui berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi ketika suaminya sedang di dalam bilik air.

"Ketika ingin memandikan anak bongsu, saya mengetuk pintu bilik air, namun tiada jawapan membuatkan saya rasa pelik dan cuba menolak pintu tetapi berasa seperti ada benda yang menyekat pintu.

"Apabila berjaya buka pintu sedikit, saya terkejut melihat suami dalam keadaan tertiarap atas lantai dan kepalanya pada bekas mandi bayi serta seperti tidak sedarkan diri," katanya.

Katanya, beliau menghubungi saudara terdekat untuk membantu membawanya ke hospital selepas melihat Mohd Zawawi muntah beberapa kali.

"Beberapa hari sebelum ini suami ada mengadu pening, sakit kepala dan badan serta penat akibat menghadiri pelbagai program termasuk kuliah dan mesyuarat di Padang Rengas sebelum pulang rumah jam 1 pagi hari ini.

"Suami juga menghantar anak ke sekolah sebelum kejadian dan hari ini dia tiada apa-apa program," katanya yang mempunyai tiga anak berusia 14 bulan, tujuh dan 15 tahun.

Maizul Rosmawati berkata, mungkin kerana terlalu penat dan tekanan kerja membuatkan suaminya diserang darah tinggi dan perkara itu kali pertama berlaku kerana sepanjang pengetahuannya Mohd Zawawi tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan dan mengetahui menghidap penyakit berkenaan.

4198 dibaca
Berita Harian X