Selasa, 13 Februari 2018 | 7:56pm

48,811 peminjam PTPTN, tidak perlu bayar RM1.47 bilion

JELI: Seramai 48,811 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikecualikan daripada membayar balik pembiayaan berjumlah RM1.47 bilion, kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian masing-masing dalam tempoh 20 tahun penubuhan perbadanan itu.

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata daripada jumlah itu, seramai 2,445 peminjam PTPTN di Kelantan memperoleh peluang itu yang menjadi inisiatif kerajaan membantu rakyat secara menyediakan pendidikan percuma kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang.

"Pendidikan percuma menerusi PTPTN ini disediakan sejak 1998 hingga kini. Ia semestinya memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Kita beri pendidikan percuma kepada pelajar cemerlang supaya mereka di luar sana lebih bersikap berdaya saing untuk mendapatkan kemudahan yang diberikan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN Bulan November di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Ghaffar berkata, sehingga kini PTPTN menyediakan pinjaman kepada 2.81 juta pelajar membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM51.9 bilion.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan melalui PTPTN melipat gandakan pemberian Geran Sepadan secara percuma dengan menyediakan dana RM250 juta kepada 500,000 ibu bapa terawal membuat simpanan SSPN1M untuk anak berusia tujuh hingga 12 tahun.

"Ibu bapa hanya perlu membuat simpanan bersih sekurang-kurangnya RM500 pada tahun ini dan akan diberikan deposit percuma berjumlah RM500. Setakat ini, seramai 44,200 ibu bapa sudah membuka simpanan itu. Kita berharap ibu bapa lain segera tampil berbuat demikian bagi mendapatkan sumbangan RM500 itu.

"Semenjak SSPN1M diperkenalkan 2004, ramai mulai sedar kepentingan menabung memandangkan skim ini adalah pelan yang terbaik. Ini terbukti bilangan yang membuka akaun bertambah. Sehingga 31 Disember tahun lalu, 3.2 juta akaun dibuka dengan deposit berjumlah RM3.37 bilion," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak menyangka anak tunggalnya yang berusia lapan tahun, terpilih sebagai pemenang Hadiah Cabutan Wow 20 Tahun PTPTN untuk meraih wang tunai RM10,000.

Penolong jurutera, Nik Rokman Nik Li, 36, berkata beliau membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) untuk anaknya, Nik Muhamad Syahrulhamizan, yang baharu berusia dua tahun pada 2012.

"Ketika itu, saya hanya mencarum RM150 dan menyimpan setiap dua bulan untuk anak. Siapa sangka dalam tempoh enam tahun selepas membuka SSPN1M, saya memperoleh rezeki terpijak wang tunai RM10,000.

"Saya tidak mengharap sama sekali untuk mendapat cabutan itu memandangkan pencarum SSPN1M melebihi tiga juta, namun nama anak terpilih bagi cabutan bulan November tahun lalu.

"Kemenangan itu hanya dimaklumkan PTPTN empat hari lalu, mengatakan anak saya pemenang dalam cabutan berkenaan," katanya.

Nik Rokman turut menganggap hadiah wang tunai itu adalah rezeki anaknya untuk digunakan pada masa depan.

"Wang ini saya akan simpan untuk anak supaya apabila dia besar nanti boleh digunakan untuk kos memasuki universiti. Saya juga meminta ibu bapa supaya membuka SSPN1M untuk anak mereka kerana banyak manfaat yang diperoleh," katanya.

1128 dibaca
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid (tengah) dan Pengurus Besar Kanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop (tiga kiri) menyampaikan mock cek RM10,000 kepada pemenang, Nik Rokman Nik Li, 36, (dua kiri) turut bersama isteri Siti Asmah Mohd Samdzi, 31, dan anaknya Nik Muhammad Syahrul Hamizan, 8, di Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN Bulan November 2017 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli. - Foto Syamsi Suhaimi.
Berita Harian X