Selasa, 13 Februari 2018 | 7:08pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid (tengah) dan Pengurus Besar Kanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop (tiga kiri) menyampaikan mock cek RM10,000 kepada pemenang, Nik Rokman Nik Li, 36, (dua kiri) turut bersama isteri Siti Asmah Mohd Samdzi, 31, dan anaknya Nik Muhammad Syahrul Hamizan, 8, di Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN Bulan November 2017 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli. - Foto Syamsi Suhaimi

Murid Tahun Dua menang cabutan PTPTN

JELI: Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak menyangka anak tunggalnya yang berusia lapan tahun, terpilih sebagai pemenang Hadiah Cabutan Wow 20 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk meraih wang tunai RM10,000.

Penolong jurutera, Nik Rokman Nik Li, 36, berkata beliau membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) untuk anaknya, Nik Muhamad Syahrulhamizan, yang baharu berusia dua tahun pada 2012.

"Ketika itu, saya hanya mencarum RM150 dan menyimpan setiap dua bulan untuk anak. Siapa sangka dalam tempoh enam tahun selepas membuka SSPN1M, saya memperoleh rezeki terpijak wang tunai RM10,000.

"Saya tidak mengharap sama sekali untuk mendapat cabutan itu memandangkan pencarum SSPN1M melebihi tiga juta, namun nama anak terpilih bagi cabutan bulan November tahun lalu.


Pemenang, Nik Rokman Nik Li, 36, bersama anaknya Nik Muhammad Syahrul Hamizan, 8, dan isteri, Siti Asmah Mohd Samdzi, 31,selepas memenangi Hadiah Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN Bulan November 2017 yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli. - Foto Syamsi Suhaimi

"Kemenangan itu hanya dimaklumkan PTPTN empat hari lalu, mengatakan anak saya pemenang dalam cabutan berkenaan," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, di sini, hari ini.

Hadiah berkenaan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid, pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop.

Nik Rokman turut menganggap hadiah wang tunai itu adalah rezeki anaknya untuk digunakan pada masa depan.

"Wang ini saya akan simpan untuk anak supaya apabila dia besar nanti boleh digunakan untuk kos memasuki universiti. Saya juga meminta ibu bapa supaya membuka SSPN1M untuk anak mereka kerana banyak manfaat yang diperoleh," katanya.

844 dibaca
Berita Harian X