Selasa, 13 Februari 2018 | 6:31pm
Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), www.facebook.com/bkkmhq

Keselamatan susu tepung rumusan disiasat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan keselamatan produk susu tepung rumusan untuk kanak-kanak yang didakwa menyebabkan ruam, batuk, cirit-birit dan demam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia susulan aduan pengguna berhubung pek promosi susu tepung rumusan untuk kanak-kanak jenama terkenal yang tular dalam media sosial.

"Pengadu mendakwa anaknya mengalami ruam merah di bahagian leher dan celah paha, batuk, cirit-birit serta demam panas selepas mengambil produk susu tepung berkenaan.

"Kementerian Kesihatan ingin menegaskan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak bagi jualan perlu mematuhi Peraturan 91B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983," katanya dalam satu kenyataan di blog beliau, hari ini.

Baru-baru ini, aduan seorang pengguna bahawa anaknya mengalami cirit-birit, demam dan gatal selepas meminum susu jenama terbabit, tular dalam laman sosial Facebook.

Menerusi statusnya, pengadu mendakwa sudah membuat aduan kepada Pejabat Kesihatan Jerantut, Pahang.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna ada kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau Kementerian Kesihatan melalui laman web, http://moh.spab.gov.my, atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

460 dibaca
Berita Harian X