Selasa, 13 Februari 2018 | 2:56pm
ROHIZAH bersama ahli keluarga selepas menjirus air pusara Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Taman Melawati. - Foto Aizuddin Saad

Sempat sediakan setiap juadah diminta

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, setiap makanan dimintanya sempat saya dan anak masak serta carikan."

Demikian antara kenangan akhir Datin Seri Rohizah Ahmad, 65, bersama suami, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, 70, yang meninggal dunia petang semalam.

Seawal pagi, katanya, Ahli Parlimen Paya Besar itu meminta beliau menyediakan hidangan asam pedas ikan pari yang sempat dimasak untuk makan tengah hari.

Beliau berkata, arwah kemudian teringin pula menikmati pisang goreng yang dapat dicarikan anak lelaki mereka, Mohd Hannan.

"Allahyarham makan dengan penuh berselera sehingga saya terpaksa menegurnya kerana makan terlalu banyak," katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, Rohizah berkata, Allahyarham juga sering mengadu kepenatan dan mengalami kesukaran untuk tidur.

Beliau berkata, arwah amat komited terhadap tugas dan suka bekerja sehingga kerap kepenatan.

Katanya, Allahyarham juga seorang yang amat baik dan gemar melayan cucu bermain, malah sentiasa melayan sesiapa sahaja dikenali.

"Petang semalam, saya menyangka Allahyarham melihat cucunya bermain di luar kawasan rumah. Namun, hati saya tergerak untuk masuk ke dalam bilik.

"Apabila membuka lampu bilik, saya nampak Allahyarham terbaring di tepi katil. Saya memegang badannya dan dapat dirasakan sejuk. Ketika itu, saya menyedari suami sudah tiada," katanya.

Abdul Manan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melawati di sini, kira-kira jam 6.45 petang semalam, dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, enam anak dan 12 cucu.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Ulu Klang, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

13395 dibaca
Berita Harian X