Ahad, 11 Februari 2018 | 3:57pm

BN yakin kekalkan Putrajaya

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) yakin mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun mungkin berdepan saingan sengit pembangkang yang terus mengintai untuk merampas kerusi yang dimenangi BN sejak pada 2004.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Putrajaya, pernah berdepan tiga calon pembangkang di kerusi itu dan tidak mempunyai masalah jika ia terus diintai lawan.

"Saya pernah bertanding dengan Timbalan Presiden PKR (Abdul Rahman Othman) pada PRU-11, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (Mohamad Noor Mohamad) pada PRU-12 dan akhir sekali, (bekas) Naib Presiden PAS (Husam Musa) pada PRU-13.

"Saya tidak ada masalah kerana kawan saya di sini sudah seperti keluarga," katanya kepada media selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Pusat Rekreasi Air Presint 6 di sini, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan beliau berdepan saingan sengit di Putrajaya pada PRU-14.

Antara calon pembangkang yang disebut-sebut bertanding di Putrajaya ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada PRU-11, Tengku Adnan menewaskan Abdul Rahman Othman yang turut hilang wang pertaruhan dengan majoriti 3,546 undi.

Pada PRU-12, beliau menewaskan Mohamad Noor dengan majoriti 2,734 undi manakala pada PRU-13, menang ke atas Husam dengan majoriti 5,541 undi.

Mengenai calon BN bagi PRU-14, Tengku Adnan yang juga Setiausaha BN berkata, semua nama sudah dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, untuk diteliti dan diputuskan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah mendapat kelulusan bagi pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat di kuarters Presint 8 dan Presint 9, di sini.

"Projek menaik taraf lif juga sudah dilaksanakan di kawasan perumahan Fasa 1C, Presint 16 dan perumahan di Presint 9 manakala tahun ini, lif perumahan Presint 11 dan 8 akan dinaik taraf," katanya.

Lebih 3,000 penduduk di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu menghadiri Kenduri 1Wilayah Persekutuan.

Ia program keenam daripada 13 program yang diadakan di Putrajaya dan Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

923 dibaca
TENGKU Adnan (dua dari kanan) pada Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Pusat Rekreasi Air Presint 6 di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X