Rabu, 7 Februari 2018 | 10:29pm
JOHAN Ishak. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

GoGo Wonderful ceriakan Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2018, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi saluran 8TV dan NTV7, bergabung tenaga dengan portal video tonton, CJ Wow Shop, Viralcham dan Rojaklah untuk melancarkan album GoGo Wonderful.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, berkata GoGo Wonderful cuba menyampaikan mesej supaya semua orang sentiasa meraikan detik istimewa bersama yang tersayang.

"Kami mahu semua orang menghargai hari indah bersama keluarga dan rakan, tidak kira jauh atau dekat, miskin atau kaya, malah menjaga hubungan dan adab antara yang tua dan muda.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja kami iaitu Air Asia, AK Koh, Cornell, Jasmine Rice, L'Oreal, Maggi Imperial Oyster Sauce, Miaow Miaow, Nivea, Quill City Mall KL dan Sunlico.

"Tidak ketinggalan juga kepada Tokyo Disneyland Resort dan Unilever Homecare, yang sudi bekerjasama dalam menyampaikan mesej kekeluargaan sempena musim perayaan terutama Tahun Baharu Cina 2018," katanya.

Album GoGo Wonderful memuatkan enam lagu bertemakan Tahun Baharu Cina dan satu video muzik yang menyampaikan mesej penting iaitu menghargai keluarga dan sahabat handai terutama detik istimewa bersama mereka.

Single utama bagi album itu dinyanyikan oleh Jordan, Joey, Hao Ren, Emily, Pauline, Rickman Orange dan Wind.

Komposer terkenal, Yen Hue, bertanggungjawab memberikan sentuhan terbaik untuk lagu itu, manakala judulnya diterjemahkan daripada idea saat meriah pertemuan antara satu sama lain.

Selain itu, mascot GoGo turut memilih lapan rakan baiknya iaitu Jordan, Joey, Emily, Hao Ren, Pauline, Rickman, Orange dan Wind, yang turut berkongsi serba sedikit kisah hidup masing-masing melalui kandungan digital di laman sosial.

Ia akan ketuai oleh pengarah tersohor, Ho Yu Hang bersama beberapa pengarah muda di bawah kelolaannya.

Selain itu, GoGo Wonderful juga membawakan studio fotografi terus ke rumah anda menerusi Trak GoGo Wonderful, bagi mengabadikan kenangan bersama keluarga, sahabat handai dan yang tersayang.

Orang ramai juga berpeluang untuk menerima detik indah itu dalam bentuk video, selain memilih pelbagai variasi corak bingkai gambar untuk dicetak.

Barangan cenderahati GoGo Wonderful juga boleh didapati di kedai buku Popular dan CR Rama. Ia juga boleh dibeli secara dalam talian di laman web GoGo Wonderful, www.gogowonderful.com.my.

189 dibaca
Berita Harian X