Selasa, 16 Januari 2018 | 5:20pm
TAN Sri Shahrir Abdul Samad mengadakan sidang akhbar selepas menyertai demonstrasi secara aman dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap larangan minyak sawit oleh EU. - Foto Mohd Yusni Ariffin

FELDA bantah keputusan EU boikot minyak sawit

KUALA LUMPUR: Tindakan diskriminasi Kesatuan Eropah (EU) mahu melaksanakan sekatan terhadap produk minyak sawit dari negara Asia adalah satu bentuk penjajahan ekonomi untuk memiskinkan pekebun kecil.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata langkah diambil EU adalah satu hipokrasi dan perbuatan yang tidak ikhlas serta boleh dipersoalkan.

"Mereka menggunakan 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2015-2030 sebagai asas untuk menyekat produk minyak sawit.

"Walhal mereka sebenarnya memperlekehkan matlamat PBB itu demi kepentingan mereka. Inilah bentuk penjajahan ekonomi yang mereka ingin lakukan terhadap kita," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan membantah sekatan EU ke atas minyak sawit negara di sini, hari ini.

Shahrir berkata, EU menggunakan pelbagai taktik dan helah untuk menyekat produk minyak sawit kononnya ia menyebabkan jerebu.

"Jerebu sudah tidak berlaku tahun lalu dan tahun sebelumnya. Sepatutnya mereka menghargai perkara ini. Kita boleh buktikan hujah mereka tidak boleh diguna langsung," katanya.

Terdahulu, Shahrir bersama hampir 2,000 peneroka dan pekebun kecil berhimpun secara aman di Menara FELDA di sini, bagi membantah keputusan EU untuk mengadakan sekatan terhadap produk minyak sawit.

Malah, mereka turut menghantar memorandum bantahan ke pejabat kedutaan EU dan 17 negara anggota kesatuan terbabit.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, memorandum itu turut mengandungi 103,078 tandatangan oleh peneroka dan pekebun kecil sebagai tanda solidariti membantah keputusan EU.

"Hanya dalam tempoh 10 hari, kita berjaya mengumpul tandatangan yang banyak ini, sekali gus menunjukkan kita bersatu dalam membantah keputusan mereka," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Mohd Syahrizal Mat Yusof, berkata sekiranya aktiviti memboikot produk minyak sawit dijalankan EU, seramai 112,632 peneroka FELDA dan pekebun kecil akan terjejas.

"Jika ini berlaku, pengeluaran sawit di Malaysia akan terjejas sama sekali dan bayangkan kesusahan dialami pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya dengan hasil sawit.

"Setakat ini, pendapatan peneroka masih baik tetapi kerisauan sudah dirasai sesama sendiri ekoran boikot yang dirancang EU pada tahun 2020," katanya.

Peneroka dari FELDA Wilayah Johor Bahru, Ab Aziz A Bakar pula berkata, pendapatannya kini hanya cukup untuk menyara keluarganya saja tetapi jika tindakan boikot itu dilakukan EU, dia pasti mengalami kesulitan.

"Saya hanya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan dan ia mencukupi setakat ini, tetapi jika tindakan boikot berlaku, saya tidak dapat membayangkan kehidupan kami yang akan terjejas," katanya.

Pekebun FELCRA, Ripay Anak Sukan, 49, berkata beliau mengharapkan kerajaan dan FELDA melakukan sesuatu untuk menghentikan boikot yang dirancang EU.

"Inilah satu-satunya pendapatan kami untuk menyara kehidupan dan jika ada pihak cuba menyekatnya, ia satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Pendapatan kami bukannya banyak dan jika ini terjadi, kesulitan akan dialami semua pekebun kecil yang terbabit," katanya.

Terdahulu, Shahrir menyerahkan cek bernilai RM43,162,200 sebagai bayaran bonus insentif kepada 92,059 peneroka dari 11 gugusan FELDA selepas mereka berjaya memaksimumkan pengeluaran hasil kebun, sekali gus menghargai usaha untuk terus meningkatkan produktiviti bersama agensi itu.

1248 dibaca
Berita Harian X