Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:04pm

Label 'Bagan Datuk Ori' diwujudkan - TPM

BAGAN DATUK: Semua produk yang dihasilkan di Bagan Datuk akan dilabelkan sebagai 'Bagan Datuk Ori' untuk mempopularkan lagi hasil keluaran dari daerah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penjenamaan itu diharap mampu mempromosi produk keluaran daerah itu di seluruh negara dan antarabangsa.

"Semua produk keluaran dari daerah ini saya telah luluskan penjenamaannya dan (pembungkusannya) perlu dilabelkan sebagai 'Bagan Datuk Ori'.

"Ini akan membantu memasarkan lagi produk Bagan Datuk supaya lebih dikenali," katanya berucap selepas melakukan lawatan kerja ke Kilang QL Foods Sdn Bhd di Hutan Melintang di sini hari ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Pengarah Urusan Kumpulan QL Resources Berhad, Dr Chia Song Kun (kiri) melihat produk keluaran kilang QL Foods Sdn Bhd di Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof

Hadir sama, Pengarah Eksekutif QL Resources Berhad, Eric Cheah.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, berkata ruang perniagaan khas juga akan diwujudkan di Dataran Bagan Datuk untuk penjualan produk 'Bagan Datuk Ori'.

Beliau juga berkata, pihaknya menyambut baik usaha syarikat QL Foods Sdn Bhd untuk memperbesar lagi kilangnya membabitkan kawasan seluas 20 hektar di Hutan Melintang, sekali gus akan menambah lagi peluang pekerjaan kepada penduduk daerah itu.

Katanya, ketika ini kilang berkenaan yang menghasilkan makanan ringan dan sejuk beku hasil laut mempunyai 1,200 pekerja dengan 60 peratus daripadanya adalah rakyat tempatan.

"Saya berbangga kerana kilang ini adalah subsidiari kepada QL Resources Berhad yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan menghasilkan produk daripada hasil tangkapan nelayan sekitar daerah ini.

"Saya difahamkan QL Resources Berhad mempunyai urusniaga bernilai RM3.5 bilion setahun manakala produk kilang ini bukan untuk pasaran tempatan sahaja sebaliknya turut dieksport dengan nilai RM400 juta setahun.

"Ketika ini di Bagan Datuk, ada tiga syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia," katanya.

287 dibaca
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan pekerja kilang QL Foods Sdn Bhd ketika membuat lawatan di kilang tersebut di Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X