Isnin, 1 Januari 2018 | 5:46pm
KEADAAN banjir di Kampung Limau Kasturi. - Foto Ramli Ibrahim

Sungai Galas di Limau Kasturi cecah paras bahaya

KOTA BHARU: Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang sudah melepasi paras bahaya selepas hujan lebat sejak Sabtu lalu.

Berdasarkan infobanjir.water.gov.my, sungai terbabit kini berada pada paras 60.36 meter, berbanding paras bahaya pada 59 meter setakat jam 4 petang tadi.

Selain itu, Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai pula mencecah paras amaran iaitu pada 32.20 meter berbanding paras amaran 31 meter dan bahaya (35 meter).

Tiga sungai lagi iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial, serta Sungai Golok di Rantau Panjang pula berada di paras berjaga-jaga.

Stesen bacaan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Gunung Gagau, Gua Musang mencatat taburan hujan sangat lebat iaitu 108 milimeter (mm) setakat jam 5 petang ini berbanding 239mm sepanjang hari semalam.

Stesen bacaan di Batu 13, Jeli, turut mencatat taburan hujan sangat lebat iaitu 89mm, manakala enam stesen JPS lagi merekod taburan hujan lebat iaitu di Air Bol, Jeli (47mm); Kuala Koh, Gua Musang (46 mm); Kuala Krai (44 mm); Kampung Jeli (38 mm); Rantau Panjang (34mm); dan Empangan Bukit Kwong, Pasir Mas (31mm) setakat jam 5 petang ini.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Limau Kasturi 2, Bertam dibuka setakat jam 5 petang ini yang menempatkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga.

461 dibaca
Berita Harian X