Isnin, 1 Januari 2018 | 12:57pm
Gelagat badut dan Kongfu Panda menceriakan murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kungfu Panda ceriakan murid

KOTA BHARU: Kira-kira 1,400 murid yang memulakan sesi persekolahan 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, hari ini, teruja apabila Kungfu Panda muncul di sekolah itu.

Beruang panda yang terkenal dalam filem kartun Kungfu Panda menggembirakan murid terutama mereka di Tahun Satu yang hadir bagi sesi pendaftaran hari ini sehingga menghilangkan rasa gelisah di hari pertama persekolahan.

Dalam tempoh setengah jam, pelbagai pertunjukan diadakan di sekolah itu antaranya tiru suara watak kartun, persembahan silap mata dan permainan yang berteraskan kecerdasan.

Guru Besarnya, Ahmad Shahir Muhammad, berkata gimik seperti itu setiap tahun diadakan bagi mengalukan murid pada hari pertama persekolahan terutama untuk Tahun Satu.


Gelagat badut dan Kongfu Panda menceriakan murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan tahun 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Sejak tiga tahun lalu pelbagai gimik dibuat dan ia adalah budaya untuk sekolah ini yang dimulakan oleh Guru Besar yang terdahulu, Seri Dewi Mohd Ibrahim.

"Kita lihat konsep gimik sebegini sangat berkesan dalam menarik minat murid untuk memulakan persekolahan dan menggalakkan kehadiran malah ia akan diteruskan untuk tahun akan datang," katanya.

Pada tahun lalu, watak adiwira Batman dan Kamen Rider muncul yang mana kostum itu dikenakan oleh dua guru sekolah terbabit.

Seorang murid Tahun Satu, Afham Qhalish Norazril, 7, berkata watak Kungfu Panda memang amat digemarinya malah sangat seronok melihat watak itu depan mata.

"Saya tidak sangka dapat melihat secara dekat Kungfu Panda malah dapat bersalam. Persembahan badut juga amat menyeronokkan dan saya sangat gembira hadir ke sekolah hari ini malah hilang rasa gementar," katanya.

293 dibaca
Berita Harian X