Rabu, 29 November 2017 | 1:23pm
CHEE Meng (kiri) bersama Pengarah Pembangunan Korporat Gamuda Berhad KC Goh (dua dari kiri) dan
MURID bersama kakitangan Gamuda Land menanam pokok di Gamuda Gardens Gallery Sungai Buloh. - Foto Rosdan Wahid

Gamuda Land ajak generasi muda hijaukan alam sekitar

SUNGAI BULOH: Menanam pokok walaupun hanya sebatang, mampu mengubah masa depan.

Walaupun ada pihak sering memandang remeh langkah itu, namun generasi muda terutama kanak-kanak menganggapnya langkah besar yang mampu memberi impak mendalam terhadap kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan manusia.

Ia sama seperti refleksi peribahasa Melayu iaitu 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit'.

Usaha mungkin dianggap kecil itu dapat dijayakan jika dilaksanakan secara konsisten dengan sokongan dan komitmen pelbagai pihak, sekali gus menepis persepsi negatif golongan tertentu.

Tampil mempelopori inisiatif itu, Gamuda Land menganjurkan program penanaman pokok di tanah pembangunannya di Gamuda Gardens di sini, dengan pembabitan generasi muda terutama dalam kalangan murid sekolah.

Jaga kelestarian alam

Pemaju bandar itu percaya generasi muda dapat berperanan penting menjaga kelestarian alam semula jadi.

Selain itu, inisiatif hijau itu juga berjaya menarik minat seorang aktivis  muda alam sekitar dari Emeriah Arab Bersatu (UAE), Kehkashan Basu, 17, untuk menyertai program itu kerana beliau turut menganggap langkah kecil itu besar impaknya pada masa depan.

Kehkashan adalah penerima Anugerah Keamanan Kanak-Kanak 2016 atas perjuangannya menjaga kelestarian alam sekitar dan keprihatinannya terhadap isu perubahan iklim dunia.

Sejak berumur lapan tahun, Kehkashan terbabit secara langsung menjaga alam sekitar dengan menanam pokok pertama.

Sehingga kini, beliau sudah menanam 5,000 pokok bersama kanak-kanak di seluruh dunia yang berjuang menjaga dan menyelamatkan bumi hijau ini daripada kerakusan manusia.

Beliau percaya inisiatif ringkas dan kecil sekali pun dapat mempengaruhi masyarakat sekeliling khususnya kanak-kanak turut serta menyelamatkan bumi dengan hanya menanam sebatang pokok.


MURID bersama kakitangan Gamuda Land menanam pokok di Gamuda Gardens Gallery Sungai Buloh. - Foto Rosdan Wahid

Semua perlu jaga alam sekitar

"Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan dipikul satu pihak, malah ia perlu pembabitan golongan lain supaya inisiatif itu dapat digerak dan dijayakan dengan baik.

"Ini (kunjungan) pertama saya ke Malaysia dan terpukau dengan kehijauan di Gamuda Gardens walaupun kawasan ini pesat membangun dengan pelbagai projek bercampur.

"Usaha dilakukan Gamuda Land ini wajar diperluaskan atau diikuti syarikat korporat tempatan dan di negara lain. Ekosistem seperti hutan dan sebagainya tidak boleh disisihkan supaya pembangunan dapat diseimbangkan," katanya.

Mengulas lanjut,  Kehkashan yang pernah terbabit dalam banyak kempen kesedaran alam sekitar pada peringkat antarabangsa berkata, menjaga kehijauan bumi sesuatu yang menyeronokkan jika segenap komuniti bekerjasama.

Beliau berkata, program Gamuda Land yang mengajak kanak-kanak sekolah boleh menjadi contoh terbaik dalam menjayakan program ini pada peringkat akar umbi.

"Gamuda Land boleh menjadi perintis program sebegini membabitkan lebih ramai kanak-kanak supaya hasrat, idea dan harapan mereka dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi kelestarian alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata pihaknya mahu suara kanak-kanak didengari, sekali gus membantu Gamuda Land kekal fokus untuk memelihara alam sekitar demi keselesaan generasi masa depan.

Beliau yang turut menanam pokok bersama 30 murid sekolah rendah dan menengah berkata, pembangunan perlu mengambil kira kepentingan bumi.

"Bumi memberikan manusia limpahan kekayaan sumber asli dan kita perlu memelihara alam semula jadi.

"Jadi, perlu wujud keseimbangan antara alam semula jadi dengan apa yang kita bina. Maksudnya, bagaimana kita mahu bekerja dengan alam dan tanah bagi memastikan kawasan itu menjadi tempat tinggal terakhir generasi akan datang.

"Matlamat kita mahu komuniti mengalami perbezaan nyata apabila berada di kawasan pembangunan Gamuda Land. Saya berharap, penanaman pokok menjadi langkah positif ke arah masa depan lebih baik," katanya.

Pemuliharaan alam sekitar

Gamuda Gardens adalah sebuah bandar yang dibangunkan Gamuda Land, kaya dengan ekosistem antaranya diliputi alam semula jadi, air terjun, tasik, taman, trek berbasikal dan tapak perkhemahan.

Terletak di Sungai Buloh, bandar itu bakal dihiasi dengan kehijauan apabila sebanyak 100,000 pokok akan ditanam di tanah seluas 327.7 hektar.

Kira-kira 57.4 hektar pula dikhas untuk pembangunan landskap menyaksikan kawasan rekreasi bertemakan bakal dibangunkan iaitu wetlands, adventure playland dan lookout point, dengan pemandangan mendamaikan.

Selain itu, lima tasik bakal dibina di tanah seluas 20.2 hektar berfungsi sebagai 'rumah' kepada kepelbagaian bio semula jadi yang pasti memukau pencinta alam untuk menikmati suasana hijau di Gamuda Gardens.

154 dibaca
Berita Harian X