Isnin, 27 November 2017 | 11:59am
KEADAAN paras air Sungai Golok yang menunjukan bacaan melebihi paras bahaya di Rantau Panjang. - Foto Syaherah Mustafa
KEADAAN paras air dari tebing Sungai Golok kini melepasi paras bahaya setelah hujan lebat sejak Jumaat lalu. - Foto Ihsan Pembaca

Air Sungai Golok lebihi paras bahaya

RANTAU PANJANG: Air Sungai Golok melebihi paras bahaya selepas hujan tanpa henti sejak tiga hari lalu.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga jam 10 pagi ini, paras air Sungai Golok pada bacaan 9.21 meter sekali gus melepasi paras bahaya iaitu 9 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim, berkata jika hujan lebat melebihi 60 milimeter dan menyebabkan aras air meningkat bacaan ke 10 meter, limpahan air di tebing akan berlaku.

Katanya, jika keadaan itu berlaku air sungai akan melimpah dan menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah.


KEADAAN paras air dari tebing Sungai Golok kini melepasi paras bahaya setelah hujan lebat sejak Jumaat lalu. - Foto Ihsan Pembaca

"Bagi penduduk yang berada di sekitar pekan Rantau Panjang, Kampung Lancang dan Kampung Bakong khususnya dinasihati berpindah ke pusat pemindahan yang berhampiran.

"Kerjasama daripada masyarakat diperlukan bagi melancarkan proses pemindahan. Mereka boleh menghubungi pihak anggota penyelamat atau bomba sekiranya perlukan bantuan.

"Pihak kami akan terus membuat pemantauan dengan lebih kerap memandangkan paras air sudah melebihi tahap bahaya dan turut mengharapkan agensi keselamatan lain bagi melancarkan bantuan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Setakat ini masih belum ada pusat pemindahan banjir dibuka di daerah ini namun sukarelawan dan pihak pengurusan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Mohd Adni berkata, pihak bomba sudah bersedia dengan kelengkapan logistik dan keanggotaan bagi menghadapi fenomena itu.

"Sekarang ini penduduk dinasihatkan untuk lebih berjaga-jaga dan membuat persiapan awal dengan menyimpan dokumen penting dan barangan berharga lebih awal," katanya.

1779 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »