Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:13pm
Plaza tol Gombak. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Operasi kutipan tol tunai terakhir di LPT esok

KUANTAN: Bermula detik 12 tengah hari esok, semua 19 plaza tol di lebuh raya yang menghubungkan Karak dan Kuala Terengganu akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya, sekali gus mencipta sejarah baharu negara apabila tiada lagi kutipan tunai tol di lebuh raya di negara ini.

Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 adalah dua lebuh raya terakhir melaksanakan ETC di negara ini.

Bagi syarikat pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad (ANIH), persediaan rapi dibuat sejak awal untuk memastikan semua sembilan plaza tol di lebuh raya itu iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor bersedia dengan sistem kutipan baharu itu.

"Semua 57 laluan di plaza tol terbabit sudah pun dilengkapi sistem ETC sama ada Touch 'n Go mahupun SmartTAG," kata Naib Presiden II dan Timbalan Ketua Pengurusan Tol ANIH, Ismaliza Ibrahim, kepada BERNAMA.

Menurutnya sebagai pengendali lebuh raya antara yang paling sibuk di negara ini, ANIH turut memastikan semua warga kerjanya bersedia untuk dengan segala kemungkinan termasuk golongan pengguna jalan raya yang 'alah' dengan penggunaan teknologi baharu itu.

"LPT1 adalah lebuh raya utama yang menghubungkan kawasan pantai timur dengan ibu negara dan ia akan menjadi sesak terutama pada musim cuti sekolah serta musim perayaan.

"Contohnya pada perayaan Aidifitri lalu, purata penggunaan harian Lebuh Raya Karak (KLK) dan LPT1 pada waktu puncak meningkat 73.8 peratus kepada 245,000 buah kenderaan berbanding kira-kira 141,000 kenderaan pada hari biasa.

"Sehubungan itu, pelaksanaan ETC ini adalah cara terbaik melancarkan lalu lintas dan mengelak kesesakan. Bagi peringkat permulaan, kita meletakkan kakitangan di setiap lorong untuk membantu pengguna jalan raya yang sebelum ini gemar membayar tol secara tunai," katanya.

Menurutnya tinjauan dan kajian ANIH mendapati urus niaga tunai lazimnya mengambil masa 15 saat untuk sebuah kenderaan dengan kapasiti 240 buah kenderaan dapat berurus niaga dalam masa sejam.

Namun, menerusi sistem pembayaran kad Touch 'n Go, masa yang diambil hanya enam saat dengan 600 kenderaan dapat melalui lorong dalam tempoh sejam dan tiga saat untuk pengguna SmartTAG dengan kadar purata 1,000 kenderaan dapat melaluinya bagi tempoh sama. - BERNAMA

6823 dibaca
Berita Harian X