Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:34pm
ANGGOTA APM membawa pelancong yang diselamatkan selepas terkandas selama tiga jam di Pulau Beras Basah, Langkawi. - Ihsan APM
ANGGOTA APM membawa pelancong yang diselamatkan selepas terkandas selama tiga jam di Pulau Beras Basah, Langkawi. - Ihsan APM

12 pelancong terkandas diselamatkan

ALOR SETAR: Seramai 12 pelancong dari India dan Turki termasuk lima kanak-kanak berdepan detik cemas apabila mereka terkandas selama tiga jam di Pulau Beras Basah, Langkawi, sebelum berjaya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sekumpulan pelancong berusia antara empat hingga 66 tahun berkenaan dikatakan mengikuti pakej ‘Island Hoping’ ke pulau terbabit sebelum terkandas.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Langkawi Left (PA) Md Saifudin Saad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 petang sebelum empat anggota APM Langkawi bergegas ke tempat kejadian menggunakan bot bagi menyelamatkan mangsa.

“Salah seorang pelancong terbabit menghubungi talian kecemasan menggunakan telefon bimbit dari pulau berkenaan sebelum kami dimaklumkan berhubung kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami melihat sekumpulan pelancong melambai tangan ke arah bot penyelamat sebelum usaha membawa mereka pulang dilakukan dalam keadaan laut bergelora berserta hujan dan angin kuat,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Md Saifudin berkata, semua mamgsa kemudian dibawa ke Jeti Awana Porto Malai dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mengalami trauma berikutan insiden itu.

“Punca sebenar mereka terkandas itu tidak dapat dipastikan dan pihak kami sedang menyiasat perkara terbabit,” katanya.

510 dibaca
Berita Harian X