Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:10pm

Pekerja Bangladesh cemas hanyut 300 meter

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh terselamat daripada dihanyutkan di Sungai Gombak, dekat pusat beli-belah Sogo, di sini, petang tadi, selepas dia diselamatkan pasukan bomba dan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikatakan berada di tebing sungai dan sedang melakukan kerja penyelenggaraan di lokasi sebelum dipukul kepala air sebelum hanyut kira-kira 300 meter.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Fadil Hesam Mohamed berkata, pihaknya menggunakan tali untuk menarik mangsa ke tepi sungai sebelum dibawa naik dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi.

“Daripada maklumat yang kami terima, sebelum kejadian, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berada di platform di tepi sungai berkenaan, sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

“Bagaimanapun, dia dihanyutkan air sungai yang menerjah secara tiba-tiba dan hanyut sejauh kira-kira 300 meter. Kawan mangsa yang berada di tepi tebing mengikut pergerakan mangsa dari darat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut, namun masih berada dalam keadaan stabil.

“Pihak kami menarik mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu menggunakan tali ke tebing sebelum pasukan seramai sembilan anggota dengan bantuan orang awam menariknya ke atas.

“Mangsa selamat dibawa naik dan dibawa ke HKL. Pihak kami juga mengucap ribuan terima kasih kepada orang awam yang berada di lokasi kerana membantu pihak bomba,” katanya.

1617 dibaca
PIHAK bomba dan orang awam menyelamatkan seorang lelaki warga Bangladesh yang hanyut di Sungai Gombak berhampiran Sogo.
Berita Harian X