Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:45pm
KEADAAN van polis selepas terbabas di KM428.3 Lebuhraya PLUS, dekat Bukit Beruntung, Hulu Selangor, petang tadi.

Van polis terbalik: 3 anggota parah, 8 cedera ringan termasuk tahanan

HULU SELANGOR: Tiga anggota polis parah, empat lagi cedera ringan manakala empat tahanan turut cedera ringan apabila sebuah van polis yang membawa tahanan terbabas di KM428.3 Lebuhraya PLUS, dekat Bukit Beruntung, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, van yang membawa empat tahanan berkenaan dalam perjalanan dari Perlis menuju ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dekat Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, van yang dinaiki tujuh anggota polis dan empat tahanan itu terbabas sendiri dipercayai akibat jalan licin di lokasi.

“Berlaku kemalangan membabitkan sebuah van milik PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang membawa tujuh anggota polis pengiring kepada empat tahanan yang dalam perjalanan dari Perlis ke Bukit Aman.

“Sebaik tiba di lokasi, van terbabit terbabas sendiri akibat hujan lebat. Ketika kejadian van turut diiring tiga kenderaan polis jenis Proton Preve, namun ketiga-tiganya tidak terbabit dalam kemalangan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, tiga anggota parah, empat pula cedera ringan manakala empat tahanan turut cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

1139 dibaca
Berita Harian X