Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:48pm

Menyamar polis samun, peras warga asing

IPOH: Lapan individu termasuk seorang anggota polis diberkas kerana dipercayai terbabit kegiatan samun berkumpulan dengan menyasarkan pekerja warga asing sekitar bandar raya ini sejak Januari lalu.

Kumpulan penyamun itu membabitkan lima lelaki berusia 19 hingga 23 tahun dan tiga pembeli iaitu seorang lelaki serta dua wanita yang diberkas dalam beberapa serbuan berasingan bermula 2 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Yahya Abd Rahman, berkata berdasarkan rekod, kumpulan berkenaan disyaki terbabit sekurang-kurangnya sembilan kes samun sejak Januari lalu hingga kini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan yang diketuai suspek berusia 23 tahun itu adalah menyamar sebagai polis dengan memakai vest polis sebelum menyerbu atau menahan pekerja asing di rumah kongsi dan asrama mangsa tinggal.

“Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan polis berjaya menahan seorang lelaki pada 2 Oktober lalu yang mana hasil tangkapan dan pemeriksaan terhadap suspek menemui 15 telefon bimbit, dua vest polis, satu beg sandang, satu dompet dan satu pemotong besi.

“Pada keesokan harinya, tiga lagi lelaki ditahan dan pada 6 Oktober, seorang lagi suspek diberkas yang juga anggota polis,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Yahya berkata, susulan tertangkapnya lima suspek itu polis kemudian menahan tiga lagi individu kerana dipercayai membeli barangan curi daripada kumpulan samun terbabit.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun menyamar sebagai polis membabitkan kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit.

“Kumpulan ini akan bertindak ganas menyamun termasuk memeras mangsa dengan senjata sebelum melarikan barangan berharga termasuk wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan dan 170 KK kerana menyamar sebagai polis.

199 dibaca
YAHYA (dua dari kanan) menunjukkan 'vest' polis serta barangan rampasan daripada geng samun yang menyamar sebagai polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof
Berita Harian X