Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:55pm
PEGUAM, AG Kalidas berkatakan sesuatu kepada ahli keluarga Roaquin Radzmund di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang dibebaskan daripada pertuduhan merogol seorang wanita warga Australia. - NSTP/Saddam Yusoff

Bekas penyambut tetamu hotel dilepas, bebas tuduhan rogol pelancong

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyambut tetamu sebuah hotel lima bintang terlepas hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepas dan membebaskannya atas tuduhan merogol pelancong Australia, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membenarkan rayuan Roaquin Radzmund Muhammed Reduan, 29, dan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 7 November 2016.

Rozana dalam penghakimannya, berkata secara keseluruhannya mahkamah ini mendapati Hakim Mahkamah Sesyen dengan jelas tersalah arah dalam menolak pembelaan perayu atas dasar penafian dan pemikiran semula.

“Hakim Mahkamah Sesyen gagal mengambil kira pembelaan perayu yang mempunyai asas dan dipertimbang dan dihalusi oleh hakim berkenaan.

“Sabitan yang dijatuhkan adalah tidak selamat dan rayuan mestilah dibenarkan.

“Sehubungan itu, sabitan dan hukuman diketepikan serta mahkamah memerintahkan perayu dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pada 7 November 2016, Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Roaquin Radzmund dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 22 September 2016.

Pada 2 Disember 2015, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Roaquin Radzmund daripada pertuduhan merogol pengurus sebuah restoran makanan segera itu.

Bagaimanapun pada 2016, Mahkamah Tinggi memerintahkannya membela diri bagi pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.

Roaquin Radzmund yang ketika itu berusia 25 tahun, didakwa melakukan kesalahan berkenaan dalam bilik bernombor 1007, sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini, pada 5 pagi, 19 Oktober 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam AG Kalidas.

906 dibaca
Berita Harian X