Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:51am
PEMANDU treler direman bagi membantu siasatan yang menyebabkan lima sekeluarga maut berdekatan Terowong Menora, Sabtu lalu. - Foto MUHAIZAN YAHYA

Identiti lima rentung dikenalpasti

IPOH: Polis sudah mengenalpasti identiti lima mangsa yang rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata identiti itu dikenalpasti selepas memperoleh laporan keputusan ujian asid deosiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor.


ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar, Sabtu lalu. - Foto L MANIMARAN

Beliau berkata, pemandu kenderaan itu adalah seorang wanita dikenalpasti sebagai Yew Poi Shy, 37 dan bayi lelakinya, Yew Yi Chen, 1.

Katanya, tiga lagi ialah lelaki penumpang hadapan, Teo Wee Tatt, 46, serta dua wanita penumpang belakang iaitu Shaw Swee Me, 42, dan Lee Len Ying, 60.

Menurutnya, laporan spesimen darah dan ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu lori berusia 41 tahun pula mendapati mengandungi amphetamin, methampetamin, diphenhydramine dan chlorpheniramine.

“Suspek akan dituduh esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas polis menerima arahan Pengarah Pendakwaan Perak.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataannya malam ini.

Dalam kejadian 11.45 pagi Sabtu lalu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor, ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta Kia Forte ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Kejadian itu mengakibatkan lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai daripada empat keluarga berlainan ditemui dalam keadaan rentung akibat terbakar.

2333 dibaca
Berita Harian X