Khamis, 11 Oktober 2018 | 7:02pm
AHMAD Zahid yang dipanggil ke SPRM selama dua hari berturut-turut semalam dan hari ini bagi membantu siasatan, akan hadir semula ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pagi esok. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Zahid sambung beri keterangan esok

PUTRAJAYA: Proses mengambil keterangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bersambung esok.

Ini bagi membolehkan badan pencegahan rasuah itu melengkapkan siasatan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan yang dikaitkan dengannya.

Ahmad Zahid yang dipanggil ke SPRM selama dua hari berturut-turut semalam dan hari ini bagi membantu siasatan, akan hadir semula ke ibu pejabat SPRM di sini, pagi esok.

Sementara itu, proses mengambil keterangan Ahmad Zahid hari ini selesai kira-kira jam 6 petang tadi selepas hampir sembilan jam beliau berada di ibu pejabat SPRM.

Ahmad Zahid, ketika ditemui di pekarangan lobi bangunan ibu pejabat SPRM pada jam 6.12 petang tadi, sempat mengucapkan terima kasih kepada lebih 30 pengamal media yang setia menunggunya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang bersusah payah menunggu saya daripada pagi sehingga petang,” kata beliau namun enggan mengulas berhubung sesi ambil keterangan terhadapnya.

Ketika ditanya adakah beliau akan hadir semula ke SPRM esok, beliau mengesahkan perkara itu.

“Saya datang lagi,” jawab beliau ringkas sebelum masuk ke kenderaannya.

Beliau yang memakai baju batik hijau zaitun berseluar gelap kelihatan ceria dan sempat melambai ke arah pengamal media dari dalam kenderaannya sebelum beredar.

Difahamkan Ahmad Zahid akan menyambung semula memberi keterangan ke ibu pejabat SPRM pada jam 9 pagi esok.

Terdahulu, Ahmad Zahid, 65, tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada jam 9.16 pagi tadi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus putih.

SPRM hari ini turut mengambil keterangan menantunya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga suami kepada anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berhubung kes sama.

Semalam, Ahmad Zahid dan Nurulhidayah serta adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Proses mengambil keterangan Ahmad Zahid dan Nurulhidayah berlarutan hampir lapan jam

.

Ini kali keempat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk dirakam keterangan dengan kali pertama dan kedua beliau hadir adalah pada 2 dan 3 Julai lalu serta semalam.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya.

SPRM turut memanggilnya sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid sebelum ini menjelaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku ke atas dana Yayasan Akal Budi yang dikendalikan keluarganya itu.

Menurutnya, apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan pegawainya yang membuat pembayaran kad kredit dengan menggunakan duit yayasan dan bukannya menggunakan cek peribadi.

Beliau berkata, sudah menjelaskan perkara itu kepada pihak SPRM dan bayaran balik ke akaun yayasan sudah dibuat sepenuhnya pada 2016.

Difahamkan, Ahmad Zahid adalah pengerusi yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada 1977 dengan matlamat menerima serta menguruskan dana bagi membasmi kemiskinan.

728 dibaca
Berita Harian X