Isnin, 16 Julai 2018 | 6:16pm
ZULKIFLI di sisi anaknya, Nur Zulaika yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nurzahirah. - Foto Ghazali Kori

Nur Zulaikha Khumaira tak sabar ke sekolah

KUALA TERENGGANU: Selepas lima hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), murid Sekolah Kebangsaan Tasek, Marang, Nur Zulaikha Khumaira Zulkifili, 7, yang putus tangan kiri selepas baju sejuk dipakainya tersangkut pada rim motosikal mula bertanya kepada bapanya bila dia boleh kembali bersekolah.

Zulkifli Mohamad, 38, berkata, anaknya bertanyakan bila boleh pulang ke rumah dan dibenarkan ke sekolah seperti biasa.

"Pagi tadi, kakak tanya soalan macam itu. Mungkin dia rindukan guru dan kawan-kawannya sebab itu dia mahu ke sekolah.

"Kalau diikutkan, keadaan kakak stabil dan pagi tadi ketika jururawat membersihkan luka di tangannya, saya dimaklumkan lukanya semakin elok," katanya hari ini.

Menurutnya, ia perkembangan yang baik tetapi dia tidak pasti bila anaknya boleh dibenarkan pulang. "Saya dan keluarga cuma berharap segalanya dipermudahkan.

"Sebagai ayah, saya kagum dengan semangat dan kecekalan kakak. Melihat keadaannya yang tidak menyentuh hal mengenai tangannya, dia seakan-akan sudah reda dengan kejadian menimpanya," katanya.

Dalam kejadian 9.30 malam, Khamis lalu, Nur Zulaikha Khumaira bersama adik bongsunya, Aqil Zafran, 2, membonceng Honda Wave ditunggang kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Rozali,18, untuk ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan borang biasiswa.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, baju sejuk dipakai kanak-kanak itu tersangkut pada rim motosikal menyebabkan tangan kirinya putus di lokasi kejadian.

Kemalangan di Kampung Binjai Bongkok, Marang menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib malang kanak-kanak itu.

366 dibaca
Berita Harian X