;
Rabu, 14 Februari 2018 | 10:46am

Dera anak, pekerja kantin didakwa

TAIPING: Pekerja kantin kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan mendera anak perempuannya yang berusia enam bulan pada 2 Februari lalu.

Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, didakwa melakukan perbuatan mendera sehingga mangsa Nur Khayra mengalami pendarahan dalam otak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat 82 Kampung Paya Baru, Kamunting di sini kira-kira jam 3 petang, 2 Februari lalu.

Mohamad Amirul Asnil dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh sebelum Mohamad Amirul Asnil meminta jaminan dikurangkan.

Hakim Che Noralashiken mengekalkan jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan dipercayai didera meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping (HT) pada 5 Februari lalu.

Nur Khayra disahkan meninggal dunia jam 7.30 pagi ketika dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib sebelum ini dilaporkan berkata, bayi berkenaan sebelum itu dihantar ke HT jam 6.30 petang 2 Februari lalu selepas dikatakan pengsan akibat terjatuh buaian di rumahnya.

Berdasarkan laporan yang dibuat doktor yang merawat mangsa, bayi berkenaan sudah tidak sedar diri ketika dibawa ke hospital dan apabila doktor bertanyakan kepada ibu bapa bayi itu mereka memberitahu bayi terbabit jatuh dari buaian.

Bayi berkenaan dirawat di NICU serta diberi bantuan pernafasan sebelum pemeriksaan rapi serta laporan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan bayi terbabit mengalami pendarahan otak dan mata.

Susulan kejadian itu polis menahan reman bapa mangsa selama enam hari untuk membantu siasatan.

2889 dibaca
MOHAMAD Amirul Asnil Mat Pandir didakwa di Mahkamah Sesyen di Taiping, hari ini, atas dakwaan mendera anak perempuannya yang berusia enam bulan pada 2 Februari lalu. - Foto L Manimaran
Berita Harian X