Khamis, 25 Januari 2018 | 3:15pm
TERTUDUH, Kara Dati, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau diiringi oleh kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah. - Foto Abdul Rahemang Taiming
KAKITANGAN Jabatan Hidupan Liar Sabah menunjukkan empat potong cangkerang penyu hijau (Chelonia mydas) yang dirampas daripada tertuduh. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Cangkerang penyu hijau bawa warga Filipina ke penjara

TAWAU: Seorang lelaki warga Filipina dipenjara tiga tahun dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki empat potong cangkerang penyu hijau (Chelonia mydas) yang dilindungi sepenuhnya.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud, turut  memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan penjara setahun, jika gagal membayar denda yang dikenakan itu.

Tertuduh, Kara Dati, 35, didakwa melakukan kesalahan terbabit di kawasan perairan Kerindingan, Semporna, kira-kira jam 1.30 pagi, pada 14 Januari lalu.

Dia ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan Ops Pluto Timur pada hari sama di kawasan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Kara didakwa memiliki empat potong cangkerang penyu hijau iaitu spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut senarai Bahagian 1, Jadual Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.   

Tertuduh yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000 selain penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun.

Ketika prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Abdul Karim Dakog, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

266 dibaca
Berita Harian X