Isnin, 9 Oktober 2017 | 1:44pm
Lai Chee Chiang yang menghadapi 14 tuduhan mencabul murid dibawa ke Mahkamah Kuching di Petra Jaya, hari ini.

Guru lelaki hadapi tuduhan cabul murid lelaki

PETRA JAYA: Seorang guru lelaki di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) di Serian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan seks oral dan mencabul lima murid lelaki di sekolahnya antara Mei hingga Ogos lalu.

Tertuduh, Lai Chee Chiang, 37, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia antara 10 hingga 12 tahun di pejabat Hal Ehwal Murid (HEM), bilik darjah serta di dalam stor sekolah.

Dia menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana memaksa seorang murid lelaki berusia 11 tahun melakukan seks oral di dalam pejabat HEM antara Mei hingga Ogos lalu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum 20 penjara dan sebatan.

Guru terbabit yang diwakili peguam K.C Wong, juga menghadapi lapan pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mencabul lima murid berusia 10 hingga 12 tahun yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Selain itu, dia menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 377 E, Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum lima tahun penjara dan sebatan, kerana melakukan kelucahan melampau dengan memasukkan lidah ke dalam mulut dua murid berusia 11 dan 12 tahun di dalam bilik darjah sekolah yang sama pada bulan Julai dan Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof, dalam hujahnya memohon Mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana semua mangsa ialah kanak-kanak.

"Saya memohon supaya tertuduh tidak diikat jamin bagi melindungi mangsa. Kita tidak mahu dia mengganggu atau berkomunikasi dengan semua mangsa," katanya.

Hakim Shafiza Abdul Razak Tready membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan kes itu di Mahkamah Kota Samarahan pada 25 Oktober ini.

1653 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »