Jumaat, 11 Ogos 2017 | 4:10pm

APMM rampas penyu agar, ikan yu

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas menahan dua bot nelayan asing di perairan negara ini dan merampas seekor penyu dianggarkan seberat 50 kilogram (kg) dan 40kg ikan yu, kelmarin.

Tangkapan pertama membabitkan lima awak-awak warga Vietnam berusia antara 16 hingga 48 tahun oleh kapal peronda APMM ketika mereka menangkap ikan di perairan Pulau Redang, kira-kira jam 8.50 pagi, Rabu lalu.

Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata hasil pemeriksaan dilakukan mendapati awak-awak itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Pemeriksaan lanjut di dalam bot nelayan asing itu menemui sebanyak 40kg ikan yu pelbagai saiz. Turut dirampas adalah 5,000 liter minyak diesel dan pelbagai peralatan termasuk pukat serta bot, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1 juta.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM negeri, di sini, hari ini.

Rahim berkata, ketika rondaan dilakukan pada kedudukan kira-kira 63 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu, pasukan penguat kuasa APMM mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang menangkap ikan, kira-kira jam 10.30 pagi, hari sama.

Katanya, hasil pemeriksaan menjumpai seekor penyu disyaki spesies agar seberat kira-kira 50kg berukuran satu meter panjang yang sudah mati dalam petak simpanan ikan di bot berkenaan.

"Hasil soal siasat dilakukan mendapati lapan dari sembilan awak-awak warga Vietnam berusia antara 20 hingga 50 tahun gagal mempamerkan pasport sah dan ditahan atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Rahim berkata, penyu dan ikan yu yang ditangkap itu dipercayai untuk dijual kepada pengusaha restoran di Thailand dan China.

259 dibaca
PENGARAH Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli (tengah) menunjukkan seekor penyu yang dirampas pada sidang media di Jeti Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Berita Harian X